Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

28) PENGURUSAN SISA DOMESTIK DAN PEPEJAL BAGI KERAJAAN TEMPATAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kos pelupusan sisa yang ditanggung oleh setiap pihak berkuasa tempatan?

    Secara dasarnya pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang berkualiti adalah memerlukan perbelanjaan yang besar dan sukar dikurangkan lebih-lebih lagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor telah menerima pertumbuhan bandar yang pesat, pertumbuhan kawasan perumahan baru yang tinggi, penambahan bilangan penduduk, penggunaan teknologi baru dalam pengurusan sampah dan peningkatan kos operasi sejajar dengan pertumbuhan ekonomi.

    Sehubungan itu, usaha untuk mengurangkan kos pelupusan sampah boleh dicapai melalui pengurangan jumlah sampah yang dihasilkan dan dihantar ke tapak pelupusan sampah di mana secara tidak langsung ia boleh mengawal kos pelupusan sampah oleh PBT. Oleh itu, kaedah terbaik dalam mengurangkan sampah adalah melalui program pengasingan sisa pepejal di peringkat punca dan menggiatkan program kesedaran kitar semula supaya program ini dapat dilaksanakan.

    Sehubungan dengan itu, berdasarkan Ucapan Belanjawan Tahun 2020 oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM600 ribu bagi pewujudan pusat kitar semula secara komprehensif di semua PBT dan sebanyak RM500 ribu kepada Kampung Tradisi terpilih sebagai projek perintis bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di kampung akan kepentingan kitar semula serta sebagai pelan jangka panjang dalam mengurangkan penjanaan sampah di kawasan luar bandar. Di samping itu, Kerajaan Negeri amat menggalakkan PBT supaya memperhebatkan lagi aktiviti-aktiviti yang berasaskan kitar semula antaranya seperti:-

    1. Melaksanakan kempen kesedaran berkenaan pengasingan sisa dan memperkenalkan sistem pengasingan sisa isi rumah di peringkat komuniti penduduk;
    2. Menjalankan aktiviti kitar semula dengan mengadakan program 3R (Reduce, Reuse and Recycle) di peringkat sekolah rendah, menengah dan peringkat dalaman PBT;
    3. Program kitar semula pakaian terpakai;
    4. Program kitar semula e-Waste;
    5. Menyediakan kemudahan pusat kitar semula dan tong pengumpulan bahan kitar semula berpusat;
    6. Memperkenalkan sistem kutipan bahan kitar semula secara terus dari rumah penduduk; dan
    7. Program pengkomposan sisa yang dihasilkan dari sisa medan selera / premis makanan.
  2. Adakah Kerajaan Selangor telah melihat pelupusan sisa dengan teknologi baru yang telah dilaksanakan oleh Negara lain?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mula menilai dan meneliti teknologi alternatif yang moden yang sesuai untuk digunakan bagi pelan jangka panjang dalam pelupusan sampah di Negeri Selangor dalam pelupusan sisa pepejal selain daripada kaedah landfill sejak tahun 2013 dengan menubuhkan “Jawatankuasa Task Force Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Selangor” dan anggota Jawatankuasa ini terdiri daripada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), UPEN dan anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

    Jawatankuasa Task Force ini telah melakukan beberapa penilaian teknologi termasuk di luar negara bagi mengenalpasti teknologi yang berpotensi seperti berikut:-

    i. Mechanical Biological Treatment (MBT).
    ii. Waste-to-Energy (WTE)
    iii. Pyrolysis
    iv. Compost
    v. Anaerobic Digestor
    vi. Material Recovery Facility (MRF)
    vii. Recycling Facility
    viii. Refuse Derive Fuel (RDF)
    ix. Transfer Station

    Lawatan kerja yang dijalankan oleh Jawatankuasa Task Force ini termasuklah mengunjungi loji-loji rawatan dan kilang penyedia teknologi seperti di negara Itali, Jerman, Switzerland, Taiwan, China dan Singapura.

    Dengan merujuk kepada operasi WTE di Singapura, Kerajaan Negeri melalui UPEN telah melantik WHB untuk menjalankan Feasibility Study bagi pembangunan ISWMC di Selangor. Hasil dari kajian Feasibility Study tersebut, teknologi WTE yang menggunakan kaedah Moving Grate telah dikenalpasti sebagai teknologi yang sesuai untuk dibangunkan di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, Kuala Selangor.

    Sehubungan itu, pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembangunan Integrated Solid Waste Management (ISWMC) untuk pengurusan sisa pepejal menyeluruh bagi Negeri Selangor, bermula dengan pembinaan loji WTE yang berkapasiti 1,000 tan sehari bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Justeru, sebuah Loji Waste to Energy (WTE) akan dibangunkan oleh WHB. Dengan adanya Teknologi ini, sisa pepejal yang dihasilkan di Negeri Selangor bukan hanya dilupuskan, tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Negeri Selangor. Status terkini dalam pembangunan ISWMC ini adalah pihak WHB sedang dalam proses penyediaan laporan Environment Impact Assessment (EIA).

Lampiran

Tiada Lampiran.