Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

26) PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah sasaran PWB dalam membantu golongan wanita dalam sektor pembangunan ekonomi rumah tangga pasca COVID 19?

    Jawatankuasa Tetap Wanita dan Keluarga Negeri Selangor melalui Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah menjalankan kajian secara dalam talian kepada 442 orang responden berkenaan kesan sosioekonomi ke atas kehidupan wanita di Selangor akibat Pandemik Covid-19. Antara dapatan kajian ini adalah seperti berikut :

    1. Sebilangan besar responden kehilangan sumber pendapatan mereka kerana Covid-19 di mana keputusan menunjukkan bahawa 25% wanita mengalami kehilangan sebahagian pendapatan mereka akibat kontrak yang ditamatkan, dipaksa untuk menutup perniagaan mereka atau diberikan cuti tanpa gaji, manakala seramai 43% wanita pula dilaporkan kehilangan (sebahagian) pendapatan isi rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
    2. Ibu tunggal adalah antara golongan yang paling teruk terjejas disebabkan oleh PKP. Ibu tunggal, merangkumi 12% daripada sampel (55 wanita), dipercayai sangat terkesan akibat Covid-19 ini memandangkan mereka adalah satu-satunya pencari nafkah di dalam keluarga mereka. Hasil kajian menunjukkan bahawa 42% daripada ibu tunggal ini telah kehilangan (sebahagian) pendapatan isi rumah mereka kerana kontraknya ditamatkan, terpaksa menutup perniagaan atau mendapat cuti tanpa gaji.

     

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor khususnya melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) terus komited untuk membantu golongan wanita di seluruh Negeri Selangor dalam apa juga situasi. Berdasarkan dapatan kajian yang dibuat oleh IWB Selangor ini, program-program PWB di peringkat komuniti DUN akan terus dipergiatkan dengan tumpuan program diberikan kepada modul Perusahaan Makanan dan Minuman serta Perusahaan Kraftangan yang tujuan utamanya adalah untuk membantu dan memberdaya golongan wanita ke arah menjana pendapatan dari rumah.

  2. Bagaimanakah struktur perlantikan penyelia PWB yang terkini dilantik?

    Sebagai makluman ahli Yang Berhormat Jeram, struktur pelantikan penyelia PWB adalah seperti berikut:

    Kerajaan Negeri memohon ADUN / penyelaras DUN mencadangkan nama calon penyelia mengikut kriteria yang ditetapkan

    ADUN / penyelaras DUN menghantar cadangan nama-nama calon untuk proses temuduga

    Sesi temuduga oleh wakil daripada Pengurusan PWB, Seksyen Sektoral UPEN, dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat SUK Selangor

    Pelantikan penyelia PWB oleh Kerajaan Negeri melalui Seksyen Sektoral, UPEN
  3. Adakah masih menggunakan kuota parti politik atau memberikan kuasa kepada pihak adun melantik penyelia PWB?

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan pelantikan penyelia PWB dengan menggunapakai senarai cadangan nama-nama calon penyelia yang dipilih dan dikemukakan sendiri oleh ahli-ahli Yang Berhormat ADUN atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik untuk ditemuduga sebelum dilantik sebagai penyelia PWB mewakili DUN masing-masing di seluruh Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.