Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

22) BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan impak dan keberkesanan laluan bas Smart Selangor di kawasan luar bandar?

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor di kawasan luar bandar iaitu di daerah-daerah seperti Kuala Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor merupakan perkhidmatan bas yang diberikan secara percuma di laluan-laluan sosial yang sangat diperlukan penduduk luar bandar bagi menghubungkan masyarakat dengan kemudahan pengangkutan awam dan kawasan sekitar.

    Keberkesanan perkhidmatan bas ini dilihat dari aspek peningkatan kesalinghubungan dan jaringan di antara pengangkutan awam sedia ada ke stesen pengangkutan awam lain yang berdekatan seperti komuter, LRT, MRT dan BRT, menghubungkan laluan-laluan sosial dengan laluan utama di sesetengah kawasan, dari luar bandar ke pusat bandar serta perkhidmatan bas yang melalui kemudahan awam yang penting seperti fasiliti kesihatan iaitu klinik dan hospital, sekolah, jabatan dan agensi kerajaan yang terdapat di sepanjang laluan Bas Smart Selangor. Perkhidmatan bas secara percuma ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan yang digunakan untuk pengangkutan berbayar seperti teksi, bas sekolah dan sebagainya. Ini kerana penggunaan Bas Smart Selangor di kawasan luar bandar kebanyakannya adalah dari golongan murid dan pelajar sekolah, penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pekerja-pekerja swasta dan orang awam bagi urusan harian.

  2. Nyatakan kos penyelenggaraan bas Smart Selangor sepanjang tahun 2020 sehingga Jun 2020 mengikut kawasan PBT?

    Kos penyelenggaraan Bas Smart Selangor adalah termasuk di dalam kos penyewaan bas sebanyak RM800 sebuah sehari yang juga merangkumi kos pengurusan, urusan pentadbiran seperti gaji pemandu dan sebagainya serta pengoperasian dan penyelenggaraan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, kos keseluruhan bagi 136 buah Bas Smart Selangor adalah dianggarkan sebanyak RM15 juta. Jumlah ini merupakan kos perkhidmatan Bas Smart Selangor yang beroperasi dari tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2020 iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sehinggalah PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan dan butiran kos yang diperuntukan adalah seperti berikut:-

    a) 1 Januari hingga 17 Mac 2020 : RM 8,880,256.00
    (Bas beroperasi secara penuh)

    b) 18 Mac hingga 12 Mei 2020 (PKP) : RM 1,959,049.60
    (Bas tidak beroperasi, hanya 20 buah bas digunakan sebagai Pengangkutan Khas COVID-19)

    c) 13 Jun hingga 5 Jun 2020 (PKPB) : RM 2,251,567.20
    (Bas beroperasi namun tidak sepenuhnya kerana bilangan bas telah dikurangkan dan terdapat laluan yang masih ditangguhkan operasi khususnya di kawasan PKPD)

    d) 6 Jun hingga 30 Jun 2020 : RM2,883,200.00
    (Bas kembali beroperasi sepenuhnya)

    Dalam tempoh PKP tersebut, Kerajaan Negeri membiayai bantuan yang diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menyediakan Pengangkutan Khas COVID-19 bagi menghantar warganegara yang pulang dari luar negara dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat-pusat kuarantin COVID-19 di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka bermula pada 3 April 2020 hingga 12 Mei 2020. Bas Smart Selangor telah membawa 9,910 warganegara yang tiba di KLIA untuk dihantar ke 38 buah hotel yang dijadikan Pusat Kuarantin COVID-19.

Lampiran

Tiada Lampiran.