Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

12) PROJEK INFRASTRUKTUR DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan projek yang tertangguh, terbatal dan diteruskan mengikut jumlah peruntukan selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan pada awal tahun 2020

    Pertukaran Kerajaan Persekutuan tidak memberi kesan terhadap penangguhan dan pembatalan projek-projek yang sedia ada. Projek-projek Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) di Negeri Selangor masih lagi diteruskan tanpa campur tangan mana-mana pihak. Selain daripada itu, proses untuk merancang projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) masih lagi di dalam pelaksanaan Kerajaan Persekutuan. Tambahan pula, sempena Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor turut menerima peruntukan sebanyak RM5 Juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia bagi melaksanakan projek Infrastruktur Awam dan Infrastruktur Asas (PIA/PIAS) di setiap daerah di Negeri Selangor. Bagi pelaksanaan projek di bawah Kerajaan Negeri pula, ianya dilaksanakan mengikut perancangan dan tiada projek yang dibatalkan disebabkan pertukaran Kerajaan Persekutuan.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan projek-projek tersebut dapat diteruskan bagi memastikan kepentingan rakyat dijamin?

    Sepertimana projek-projek lain, pelaksanaan projek-projek sentiasa dipantau oleh Kerajaan Negeri didalam usaha memastikan pelaksanaannya dapat disempurnakan dalam tahun semasa. Di dalam usaha ini, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sentiasa memantau laporan prestasi bulanan yang dikemukakan oleh jabatan/agensi pelaksana. Selain itu, pemantauan projek turut dilaksanakan melalui Mesyuarat Teknikal Perancangan dan Pelaksanaan Projek-projek Pembangunan Negeri (JKTPN) yang dilaksanakan setiap suku tahun. Manakala bagi projek-projek yang lewat jadual, pelaksanaan projek akan dipantau dan dibincangkan secara terperinci melalui mesyuarat khas bagi menilai projek-projek yang rendah prestasi di dalam kemajuan projek. Lawatan tapak juga akan dilaksanakan oleh UPEN dan jabatan/agensi pelaksana dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

Lampiran

Tiada Lampiran.