Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

5) TARAF EKONOMI LUAR BANDAR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bantuan-bantuan Kerajaan yang tersedia untuk para usahawan desa?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi telah merangka dan melaksanakan pelbagai program yang memfokuskan pemberdayaan ekonomi desa dan kampung tradisi. Di antara program terkini yang telah dilaksanakan ialah Program Sarang Ekonomi Desa yang telah dijalankan bermula tahun 2019 sebagai satu inisiatif baharu untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan golongan B40. Objektif utama program ini adalah untuk merancakkan serta mempelbagaikan aktiviti perniagaan khususnya di lokasi tumpuan pelancong. Kerajaan Negeri berhasrat agar program ini bukan sahaja memacu pembangunan lestari kawasan luar bandar tetapi meningkatkan tahap pendapatan penduduk tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar. Potensi pendapatan baharu dan tambahan boleh dijana melalui khidmat promosi pelancongan, restoran dan hidangan makanan tempatan, produk hiliran, penginapan, cenderamata dan kraftangan serta rekreasi kampung yang bakal memberi manfaat kepada peserta program.

  2. Adakah Kerajaan telah mengenalpasti produk-produk khusus untuk dijenamakan sebagai "Made in Selangor"?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan usaha mempromosi produk-produk keluaran usahawan tempatan ke pasaran domestik dan antarabangsa. Bagi mempertingkat mutu dan kebolehpasaran produk keluaran Negeri Selangor, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan menganjurkan program Pembungkusan Produk Made In Selangor. Melalui program-program promosi yang dijalankan, banyak produk keluaran usahawan Selangor mempunyai potensi untuk diketengahkan.

    Dalam usaha untuk memastikan kualiti produk yang dihasilkan menepati standard yang ditetapkan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah dana pada setiap tahun bagi melaksanakan Program Pembungkusan Produk Made In Selangor. Melalui program ini, para usahawan akan diberi latihan dan bimbingan bagi menambah baik mutu pembungkusan dan penjenamaan produk mereka. Produk-produk ini akan menerima label Made In Selangor sebagai pengiktirafan kualiti pembungkusan produk tersebut.

    Sehingga kini hampir 70 usahawan menerima bantuan pembungkusan tahap asas dan 24 usahawan menerima bantuan bagi pembungkusan tahap pertengahan. Usahawan yang telah mengikuti program ini berpotensi untuk membawa produk mereka ke rangkaian pasaraya dan platform antarabangsa. Buat masa ini, program tersebut terbuka kepada semua kategori produk dan kriteria pemilihan untuk program ini adalah seperti berikut:

    i. beroperasi di negeri selangor;
    ii. warganegara atau pemastautin di negeri selangor;
    iii. mempunyai tahap pengeluaran yang stabil; dan
    iv. berdaftar dengan PBT

Lampiran

Tiada Lampiran.