Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

146) STADIUM SHAH ALAM

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa lama projek menambahbaik Stadium Shah Alam akan siap dan apakah langkah awal dalam mempromosikan Stadium Shah Alam sebagai salah satu mercu tanda Selangor?

    Projek penambahbaikan Stadium Shah Alam adalah proses yang dibuat secara berfasa mengikut keperluan dan keutamaan stadium, termasuklah;

    FASA PERTAMA – iaitu pembaikan fizikal luaran Stadium Shah Alam terutamanya melibatkan keceriaan luaran stadium termasuklah membuat-semula cat parameter keseluruhan pagar stadium, pembersihan permukaan konkrit bumbung, pembaikan keseluruhan sistem tandas stadium, dan beberapa pembaikan dalaman yang mustahak telah bermula sejak Julai 2018 dan siap pada tahun hujung 2019.

    FASA KEDUA – iaitu pembaikan keseluruhan bahagian bumbung Stadium Shah Alam. Jangkaan pembaikan ini akan bermula pada tahun 2021 dan mengambil masa selama 12 bulan, iaitu jangkaan siap pada tahun 2022.

    FASA KETIGA – pembaikan untuk fasa ketiga akan fokus pada pembaikan dalaman sistem operasi dan kegunaan stadium. Disebabkan kos pembaikan dalaman tesebut adalah sangat mahal dan mencecah lebih RM100 juta, Kerajaan Negeri masih dalam proses membuat beberapa perbincangan dengan pihak luar untuk memastikan kos pembaikan tersebut dilakukan secara perkongsian bersama yang boleh menguntungkan kedua pihak. Kerajaan Negeri mensasarkan keseluruhan perbincangan, pembaikan dan penaikan taraf tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun selepas Fasa Kedua di atas dilaksanakan.

    Manakala langkah awal untuk tujuan mempromosikan Stadium Shah Alam sebagai salah satu mercu tanda Selangor adalah seperti berikut, termasuklah;

    1. Memperbaiki fizikal luaran Stadium Shah Alam seperti Pembaikan Fasa Pertama dan Kedua di atas. Ini demi memastikan pandangan Stadium Shah Alam dari luaran berjaya menarik perhatian dan keyakinan pengunjung dalam dan luar Negara untuk singgah ke stadium.

    2. Memastikan sistem padang rumput yang disediakan di Stadium Shah Alam diseleggara adalah pada tahap maksima dan mampu digunakan pada bila-bila masa. Ini kerana sistem padang Stadium Shah Alam ini dikenali sebagai antara padang terbaik negara yang menjadikan pelbagai pemain negara lebih memilih padang tersebut sebagai lokasi utama perlawanan yang berprestij termasuklah perlawanan akhir liga.

    3. Membuat perancangan bersama LRT3 termasuklah dengan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Berhad demi memastikan bahawa pembinaan projek LRT3 yang sedang dilaksanakan pada masa ini mampu menjadikan Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati sebagai lokasi utama pengunjung yang akan singgah melalui Stesyen Stadium iaitu salah sebuah stesyen yang paling besar dalam jajaran semasa LRT3.

    4. Selain daripada perkara di atas – Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) iaitu Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk pengurusan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) turut juga melakukan penjenamaan semula keseluruhan Pasar Terbuka Stadium Shah Alam yang dikenali “Bazarena Stadium Shah Alam” yang pada masa ini merupakan pasar terbuka (flea-market) terbesar di Malaysia yang menempatkan lebih 1,000 peniaga pada setiap hari Ahad sejak lebih 20 tahun lalu dengan memastikan ianya diuruskan dengan lebih tersusun dan berdaya maju dengan diitempatkan di lokasi baharu di perkarangan parkir belakang stadium. DEFM juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tourism Selangor dan LRT3 untuk bersama menjadikan Pasar Bazarena Stadium tersebut sebagai salah satu mercu tanda dan tarikan paling utama pengunjung ke Stadium Shah Alam apabila segala perancangan pembaikan tersebut dilaksanakan.

  2. Berapa peruntukan yang telah disalurkan setiap tahun untuk penyelenggaraan Stadium Shah Alam dari tahun 2017-2020?

    Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) iaitu Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk pengurusan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) hanya mula mengambilalih pengurusan KSSA bermula 1 Januari 2018 yang lalu.

    Peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan pengurusan keseluruhan KSSA melalui DEFM adalah seperti berikut;

    1. Tahun 2018 – Peruntukan Operasi (OPEX) sebanyak RM5 juta dan Peruntukan Naiktaraf (CAPEX) sebanyak RM5 juta.

    2. Tahun 2019 – Peruntukan Operasi (OPEX) sebanyak RM5 juta

    3. Tahun 2020 – Peruntukan Operasi (OPEX) sebanyak RM5 juta

Lampiran

Tiada Lampiran.