Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

125) WARGA TUA TIDAK ADA SUMBER KEWANGAN SELEPAS BERSARA

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan diambil Kerajaan Negeri untuk membantu golongan ini yang tidak layak untuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat?

    Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMNS) telah menyediakan bantuan di bawah Skim Bantuan Kewangan Persekutuan iaitu Bantuan Orang Tua (BOT) yang diberikan kepada golongan warga emas yang memenuhi syarat kelayak yang telah ditetapkan.

    Bantuan BOT ini diberikan dengan nilai RM350.00 sebulan seorang sebagai saraan hidup kepada warga emas yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti berdasarkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) Kerajaan Persekutuan yang telah ditetapkan iaitu RM960.00 dengan syarat kelayakan seperti berikut:-

    1. Berumur 60 tahun ke atas;
    2. Tiada sumber pendapatan untuk menyara hidup; dan
    3. Tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan.

    Bagi golongan warga emas yang tidak layak menerima BOT, warga emas berkenaan bolah dipertimbangkan untuk menerima Bantuan Am yang disediakan melalui Skim Bantuan Kewangan Negeri dengan nilai kadar RM350.00 atau RM300.00 atau RM250.00 sebulan seorang mengikut keadaan dan kelayakan semasa warga emas berkenaan.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada golongan warga emas dengan mendaftar di Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang memberi manfaat kepada mereka melalui pemberian baucer membeli belah sebanyak RM100.00 yang boleh digunakan di pasaraya-pasaraya terpilih di kawasan mereka mengikut bulan kelahiran ahli SMUE berkenaan.

  2. Apakah perlu Kerajaan membantu mereka menyara kos kehidupan dan menangani isu penuaan dengan menyediakan peluang pekerjaan seperti mewujudkan stor perniagaan di taman perumahan mereka?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam membantu rakyat khususnya golongan warga emas dalam menjana pendapatan harian sekali gus dapat mengurangkan beban kos sara hidup. Warga emas merupakan golongan yang perlu dilindungi dari sudut kebajikan dan hak asasi mereka memandangkan jumlah mereka yang semakin bertambah setiap tahun. Untuk makluman Yang Berhormat Taman Templer, Kerajaan Negeri mempunyai banyak program/ manfaat untuk meningkatkan pendapatan yang boleh dinikmati oleh semua rakyat tidak kira usia. Justeru, warga emas juga tidak terkecuali dalam mengikuti program yang ditawarkan sekiranya mereka memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh setiap program bantuan tersebut.

    Antara program yang ditawarkan adalah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan. Sepertimana semua sedia maklum, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat/ individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Program yang telah dijalankan sejak 2008 ini telah berjaya memberi manfaat kepada seramai 4,506 orang miskin tegar di Negeri Selangor dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14,507,493.10.

Lampiran

Tiada Lampiran.