Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

25) SISTEM ADUAN AWAM

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Sistem Aduan Awam Selangor kini digunapakai?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mula menggunapakai Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) mulai 19 Mac 2018. SISPAA merupakan hasil penambahbaikan Sistem iSPAAA yang dilaksanakan secara kolaborasi oleh Biro Pengaduan Awam (BPA), Kementerian Kewangan (MOF) dan MAMPU.

  2. Apakah kelemahan dan kelebihan sistem aduan ini?

    Kelebihan SISPAA adalah, dapat menerima pelbagai kategori (lebih daripada 500 kategori serta sub-kategori) dan lokaliti maklum balas (termasuk aduan) berkaitan Negeri Selangor daripada seluruh rakyat. Pelaksanaannya dalam pengurusan maklum balas di Negeri Selangor merangkumi semua jabatan/ agensi (termasuk pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, dan anak syarikat) di bawah Kerajaan Negeri. SISPAA menghubungkan kesemua jabatan/ agensi ini secara digital di mana antara lainnya, penugasan sesuatu maklum balas itu dibuat begitu cepat daripada satu jabatan ke agensi yang lain secara dalam talian (maya), tanpa birokrasi. Secara tidak langsung, SISPAA mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian maklum balas, kepada dan daripada agensi kerajaan, kerana ianya boleh dicapai oleh pengguna pada bila-bila masa selagi mana terdapat capaian internet.

    Kelemahan SISPAA adalah, di mana SISPAA menggunakan pelayan (server) di luar Selangor, yang ditadbir urus oleh BPA dan Pusat Data Sektor Awam (PDSA). Kegagalan server akan membawa kepada pengoperasian SISPAA Selangor terganggu. Sebagai contoh, jika server mengalami kegagalan, pengguna akan berdepan dengan masalah untuk log masuk ke SISPAA Selangor, sekali gus tidak dapat menggunakannya dengan sempurna. Sebarang perubahan, penambahbaikan, konfigurasi yang ingin dibuat terhadap SISPAA Selangor juga hanya boleh dipertimbangkan, dimuktamadkan, seterusnya dilaksanakan oleh BPA. Ini bagi tujuan penyelarasan, memandangkan SISPAA itu sendiri digunapakai di seluruh negara, sedangkan kehendak serta keperluan setiap jabatan/ agensi adalah berbeza.

  3. Adakah Kerajaan akan menambahbaik sistem tersebut, terutamanya dengan mengunakan aplikasi telefon bimbit, supaya memudahkan orang awam untuk melakukan aduan?

    Kerajaan Negeri Selangor akan dan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh (stakeholders) berkaitan penambahbaikan SISPAA. Memandangkan SISPAA tidak dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, sebaliknya merupakan sistem sediaguna percuma yang disediakan oleh BPA dan dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maklum balas yang diterima berkaitan dengan peluang dan ruang penambahbaikan SISPAA akan dibincangkan bersama pihak BPA untuk diperhalusi dan dipertimbangkan.

    Sistem pengurusan aduan awam yang berkesan juga akan meningkatkan reputasi Kerajaan Negeri dan memperkukuhkan keyakinan pelanggan terhadap pentadbiran Kerajaan. Dalam konteks penambahbaikan SISPAA agar lebih efisien, BPA telah membangunkan aplikasi telefon pintar dikenali Respons Rakyat (RR 2.0) untuk pelanggan membuat aduan dan maklum balas mengenai sistem penyampaian perkhidmatan awam. Aplikasi itu dibangunkan bagi menggantikan Rakyat Responz (RR 1.0) yang diwujudkan Mei 2016. RR 2.0 lebih interaktif dan membolehkan pelanggan mengemukakan aduan dan maklum balas lebih meluas secara terus kepada 460 agensi kerajaan membabitkan 25 kementerian, 257 agensi persekutuan, 13 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri termasuk PSUK Negeri Selangor, 149 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 16 syarikat utiliti. Antara lain kelebihan RR 2.0 adalah keupayaan yang diberikan kepada pengguna (pelanggan) untuk memuat naik (upload) video dan audio, berbanding hanya gambar dan fail bagi aplikasi terdahulu. RR 2.0 turut dilengkapi dengan sistem pesanan RR Messenger sebagai pemakluman atau notifikasi mesej baharu yang diterima (sebelum ini pelanggan berkomunikasi menerusi e-mel atau telefon) malah, pelanggan juga boleh mengikuti perkembangan kes dalam siasatan melalui peranti elektronik.

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor telahpun memulakan perolehan RR 2.0 Selangor melalui perakuan (kelulusan) oleh Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Negeri Selangor Bil.1/ 2020 yang bersidang pada tarikh 14 Februari 2020. RR 2.0 Selangor ini yang akan berintegrasi secara langsung dengan SISPAA Selangor, dijadualkan selesai dibangunkan dan dapat digunakan sepenuhnya pada pertengahan 2021.

Lampiran

Tiada Lampiran.