Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
21) HOMESTAY
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perbezaan konsep homestay dan AirBnb?
Homestay adalah merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong akan tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha homestay yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Para pelancong berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung termasuk mengenali dengan lebih dekat tentang kebudayaan mereka. Konsep utama yang ditekankan bagi produk ini adalah lebih kepada lifestyle yang berunsurkan pengalaman.
Homestay yang berdaftar di bawah program ini tidak terhad kepada perkhidmatan lojing sahaja seperti premis penginapan pelancongan yang lain (hotel) tetapi turut juga mengambil kira aktiviti-aktiviti pelancongan berasaskan komuniti setempat seperti sukan rakyat, acara kebudayaan, rewang, perayaan, aktiviti ekonomi (IKS) dan sebagainya.
Manakala, bagi AirBnB pula, ianya adalah sebuah platform bagi penyediaan penginapan kepada para pelancong dengan menyewakan rumah, kondominium atau apartmen dari penduduk tempatan. Pemilik premis perlu mendaftar sebagai ahli AirBnB. Tiada sebarang aktiviti disediakan oleh tuan rumah kecuali tempat penginapan di rumah persendirian dan disewakan kepada pelancong.
-
Bagaimanakah Kerajaan memupuk pendaftaran dan menjalankan aktiviti homestay?
Terdapat syarat asas pendaftaran homestay di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) iaitu:
i. Terbuka kepada WARGANEGARA MALAYSIA SAHAJA.
ii. Berkeluarga dan tinggal di luar bandar.
iii. Mempunyai sekurang-kurangnya 10 BUAH RUMAH bagi setiap kluster homestay.
iv. Maksimum 4 buah bilik sahaja disediakan oleh seorang tuan rumah.
v. Mempunyai kemudahsampaian daripada segi perhubungan dan pengangkutan.
vi. Menjaga tahap kebersihan rumah kediaman dan kawasan persekitaran kampung.
vii. Menjaga keselamatan pelancong sepanjang penglibatan.
viii. Menawarkan aktiviti-aktiviti tradisional berasaskan komuniti.Selain daripada itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Tourism Malaysia yang bertindak sebagai agensi pemasaran produk pelancongan Malaysia akan mempromosikan program dan aktiviti yang terdapat di homestay berkenaan ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. MOTAC juga menggalakkan para pengusaha homestay agar menggunakan khidmat agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC untuk menjual pakej-pakej yang ditawarkan di homestay berkenaan kepada para pelancong antarabangsa yang menggunakan khidmat agensi pelancongan mereka. Pakej-pakej Program Pengalaman Homestay yang terjual kepada para pelancong menjadi salah satu sumber pendapatan tambahan selain daripada penjualan produk-produk IKS, Kraf, makanan dan lain-lain.
Program-program yang berkaitan agro-tourism / edu-tourism dan famtrip turut diadakan di homestay-homestay yang bersesuaian dengan tujuan memberi pendedahan mengenai aktiviti tradisional yang dijalankan di luar bandar (kampung).
Kerajaan juga memperuntukkan sebahagian kecil kewangan bagi menaiktaraf pusat aktiviti atau penambahbaikan kecil di homestay-homestay yang berdaftar dengan MOTAC setiap tahun
-
Nyatakan bilangan dan lokasi homestay di Negeri Selangor.
Bilangan Homestay di Negeri Selangor yang berdaftar dengan MOTAC adalah seperti berikut: