Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
226) Prestasi Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR)
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah prestasi IPR secara keseluruhan setakat ini?
Untuk makluman Yang Berhormat Sijangkang, sehingga 30 September 2020, lebih sejuta rakyat Selangor telah menikmati pelbagai IPR yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri, tidak termasuk IPR yang paling ramai digunakan oleh rakyat Selangor iaitu Bas Smart Selangor dengan bilangan pengguna seramai 6,400,787 orang pada tahun ini. IPR seterusnya yang banyak dinikmati oleh rakyat Selangor adalah Program Pengecualian Cukai Pintu dengan bilangan sebanyak 424,318 penerima yang berkelayakan dengan nilai RM 58,021,343.14, diikuti dengan Skim Air Darul Ehsan yang telah membantu 270,000 pemilik akaun Air Selangor dengan nilai RM 14,700,000.00.
Selain itu, IPR-IPR lain yang mempunyai bilangan penerima yang tinggi adalah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang mempunyai ahli berdaftar sehingga kini yang berjumlah 94,173 orang, Pengecualian Fi Lesen Penjaja yang telah diberikan kepada 80,475 orang penjaja yang berkelayakan, Skim Insurans Peduli Sihat Selangor (SiPS) dengan bilangan penerima yang berkelayakan seramai 79,044 orang dan Program Pemberian Bantuan Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan dengan bilangan yang dibantu seramai 54,607 orang sehingga bulan September 2020.
Semua data yang telah disebutkan tadi jelas menggambarkan dan merumuskan bahawa inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Selangor masih kekal relevan untuk dinikmati oleh mereka yang berkelayakan. Sejak sekian lama, IPR telah banyak membantu rakyat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa di samping meningkatkan taraf kesejahteraan kehidupan mereka pada masa kini dan masa hadapan.
-
Adakah prestasi Skim HIJRAH terkesan akibat wabak Covid-19?
Penularan wabak pandemik Covid-19 yang mengakibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 telah menjejaskan kehidupan segenap lapisan masyarakat khususnya di Selangor. Sektor perniagaan juga tidak dapat beroperasi dan menjejaskan pendapatan usahawan, malah ada yang terpaksa gulung tikar. Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-10/2020 yang diadakan pada 17 Mac 2020 telah meluluskan pemberian moratorium kepada usahawan Hijrah.
Selepas daripada tamat tempoh PKP, segelintir perniagaan memerlukan masa dan tambahan modal untuk memulakan semula operasi. Situasi ini turut menjejaskan peratusan kutipan bayar balik pinjaman tahun 2020 sehingga 70.54%.
Maklumat Tambahan:
Data dan perincian lanjut berkenaan bilangan penerima setiap IPR serta maklumat lain adalah seperti di Jadual dilampirkan.