Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

212) BAS Smart Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan rancangan Kerajaan Negeri untuk memperluaskan bilangan laluan Bas Smart Selangor.

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang bermula pada 1 Julai 2015 di tiga (3) kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga kini telah memasuki tahun kelima pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri dengan perkhidmatan yang diperluaskan ke sebelas (11) kawasan PBT yang lain kecuali Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

    Dalam tempoh 5 tahun tersebut, bilangan Bas Smart Selangor telah bertambah dari 11 buah bas di tiga (3) laluan kepada jumlah terkini sebanyak 136 buah bas di 43 laluan perkhidmatan dengan jumlah penumpang keseluruhan adalah 51 juta orang. Walau bagaimanapun, jumlah penumpang dari 1 Januari 2020 hingga 30 September 2020 sebanyak 6.3 juta (6,327,157) telah merosot berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 iaitu sebanyak 11.4 juta (11,431,417) orang. Kemerosoton jumlah penumpang ini disebabkan perkhidmatan yang turut terjejas akibat pendemik COVID-19 melibatkan semua penggunaan pengangkutan awam termasuk Bas Smart Selangor.

    Kesan pengurangan jumlah penumpang ini dijangka akan berlarutan dan sumber kewangan negeri lebih diperlukan bagi pembangunan  ekonomi yang penting. Oleh yang demikian, sebarang cadangan bagi memperluaskan laluan perkhidmatan atau penambahan bas memerlukan penelitian yang terperinci tertakluk kepada kemampuan Kerajaan Negeri dan PBT untuk melaksanakannya.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri juga mendapati perlunya semakan semula semua laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor ini bagi melihat keupayaannya dari segi kecekapan (efficiency), kekerapan dan sambutan pengguna di kawasan laluan-laluan tersebut. Oleh itu, PBT  telah diminta untuk menjalankan kajian dan audit terhadap setiap laluan Bas Smart Selangor (sehingga 31 Disember 2020) bagi melihat dan menimbang semula keperluan serta keupayaan setiap laluan dan jumlah bas untuk memastikan perkhidmatan ini kekal relevan.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memutuskan supaya PBT dapat menggunakan rizab sedia ada bagi tujuan perkongsian kos. Dengan perkongsian kos ini, Kerajaan Negeri dan PBT akan dapat memperluaskan lagi jaringan laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor di masa akan datang dengan penilaian cadangan laluan-laluan yang menepati kriteria yang ditetapkan selaras dengan pematuhan yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selaku agensi pengawalselia bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Lampiran

Tiada Lampiran.