Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

184) Kempen Bebas Plastik

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Selangor telah melarang menggunakan plastik sekali guna dan juga penyedut mulai Julai 2019. Apakah usaha kerajaan dalam mendidik generasi masa depan mengenai pelaksanaan ini sekaligus dalam meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka menangani masalah perubahan iklim?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam mempertingkatkan usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan orang awam. Selain daripada Kempen Bebas Beg Plastik dan Kempen Kitar Semula Sampah, Kerajaan Negeri Selangor melalui dan Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan penganjuran pelbagai program dan aktiviti bagi memupuk kesedaran orang awam mengenai bahaya penggunaan plastik khususnya plastik sekali guna seperti beg plastik, polistirena, straw plastik dan sebagainya.

    Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk mengadakan langkah pengurangan terhadap beg plastik dan polisterina pada setiap hari bermula 1 januari 2017. Melalui kempen yang dilancarkan ini, kutipan caj terhadap penggunaan beg plastik adalah bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai bahaya beg plastik terhadap alam sekitar dan kesihatan. Caj ini dikenakan oleh peniaga-peniaga di premis-premis perniagaan yang menyediakan beg plastik khususnya dalam skala yang besar kepada pengguna, seperti di pasar raya, super mart, pasar raya mini dan sebagainya.

    Seterusnya, pada 1 Julai 2019, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen #BebasStrawPlastik bagi tujuan penjagaan alam sekitar terhadap penggunaan straw plastik yang semakin meningkat. Melalui kempen ini, peniaga tidak dibenarkan untuk menyediakan straw plastik secara automatik atau ‘default’ bagi setiap minuman yang dipesan. Peniaga juga dilarang menyediakan straw plastik di kaunter untuk diambil secara bebas dan hanya adakan diberikan atas permintaan pelanggan secara percuma.

    Dasar-dasar dan kempen yang diadakan ini adalah selaras dengan pelan tindakan yang digariskan di dalam Roadmap Towards Zero Single-use Plastics 2018-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 17 Oktober 2018.

    Kerajaan Negeri pada masa ini juga mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan program, aktiviti dan kempen-kempen alam sekitar seperti Kempen Bebas Plastik dan Kempen Bebas Straw Plastik. Antara agensi pelaksana yang terlibat termasuklah pelbagai agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor, NGO/Persatuan, institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah-sekolah.

Lampiran

Tiada Lampiran.