Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

181) Masalah Pekerjaan

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan ratio pekerja yang hilang kerja disebabkan Covid-19.

    Berdasarkan rekod Laporan Pemberhentian Pekerja (Borang PK) yang diterima di Jabatan Tenaga Kerja Selangor, seramai 7,521 orang pekerja tempatan dan 1,255 orang pekerja asing dilaporkan terlibat dengan pemberhentian pekerja dari 1 Mac 2020 sehingga 30 September 2020. Keseluruhan yang terlibat ialah 8,776 orang pekerja.

  2. Apakah tindakan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut?

    Pemberhentian Pekerja adalah hak majikan. Namun ianya adalah langkah terakhir majikan setelah melaksanakan tindakan-tindakan mengelakkan pemberhentian pekerja iaitu:-

    (i) membekukan pengambilan pekerja baru kecuali bagi bidang-bidang yang kritikal;

    (ii) menghadkan kerja lebih masa;

    (iii) menghadkan kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am;

    (iv) mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja giliran;

    (v) mengurangkan waktu bekerja harian;

    (vi) mengadakan program latihan semula kepada pekerja;

    (vii) mengenalpasti kerja-kerja alternatif dan pertukaran ke bahagian/kerja lain di dalam syarikat yang sama;

    (viii) melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shut down) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula. Jika majikan melaksanakan pemberhentian sementara, maklumat berapa lama tempoh pemberhentian sementara tersebut hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk tujuan pemantauan sama ada pekerja tersebut diambil semula bekerja atau ditawarkan Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) atau pemberhentian tetap pada masa-masa hadapan; dan

    (ix) mengurangkan gaji pekerja (Pay-Cut) yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh juga dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain sudah dilaksanakan.

    Sekiranya pemberhentian pekerja tidak dapat dielakkan, pekerja-pekerja asing perlu ditamatkan terlebih dahulu. Sekiranya pemberhentian melibatkan pekerja tempatan, prinsip LIFO (last in first out) hendaklah dipatuhi. Walau bagaimanapun, prinsip ini boleh diketepikan sekiranya majikan mempunyai justifikasi kukuh. Majikan perlu melaporkan pemberhentian ini kepada Pejabat Tenaga Kerja yang terdekat, 30 hari sebelum tarikh pelaksanaan pemberhentian. Majikan boleh mendapatkan Garis Panduan Pemberhentian Pekerja di laman sesawang JTKSM (www.jtksm.mohr.gov.my).

    Selain itu, merujuk kepada sumber daripada Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek Jun – Disember 2020 melalui program penjana yang mempunyai 3 teras iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi. Secara tidak langsung, ianya turut membantu pekerja-pekerja dan majikan-majikan yang terjejas dengan Covid-19.

    (Sumber: Laman Rasmi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, Kementerian Kewangan Malaysia) (https://penjana.treasury.gov.my).

Lampiran

Tiada Lampiran.