Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

153) Masalah Alam Sekitar

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah pencemaran alam sekitar seperti ladang-ladang ayam yang menyebabkan udara busuk serta masalah lalat akan di atas?

    Sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) telah menangani dan mengatasi semua aduan berkaitan udara busuk dan masalah lalat yang berpunca daripada ladang-ladang ayam. Namun, Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan berlakunya lagi masalah-masalah sebegini pada masa akan datang berdasarkan hakikat bahawa walau pun dengan sistem perladangan yang baik, masalah pencemaran, udara busuk dan kacau ganggu lalat masih boleh berlaku sekiranya pihak pengurusan ladang membuat kesilapan. Maka itu, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa :

    i. Semua ladang ayam komersial di seluruh negeri Selangor diperiksa secara berkala;

    ii. Semua aduan berkaitan isu ini akan disiasat dengan segera dan adil menggunakan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor 2007) dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008 seperti siasatan Kawalan Lalat dan Larva, Pengendalian Tinja, Pelupusan Bangkai dan Kawalan Pelepasan Habuk.

    iii. Sebarang perlanggaran peraturan dan undang-undang oleh ladang-ladang ayam yang menyebabkan kacau ganggu lalat dan bau akan dikenakan tindakan keras seperti kompaun sehingga penggantungan lesen dan pembatalan lesen (tidak boleh menternak lagi).

  2. Bilakah pencemaran udara berpunca daripada pembakaran toksid oleh kilang-kilang haram akan diambil tindakan?

    Selain daripada penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran yang didaftarkan dalam inventori Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan juga melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi-agensi di peringkat negeri ke atas kilang-kilang haram. Selain itu, bagi program pemutihan kilang tanpa kebenaran, JAS memberi ulasan teknikal dari aspek kesesuaian tapak iaitu penempatan industri perlulah selaras dengan Rancangan Tempatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan garis panduan Environmental Essentials for Siting of Industries in Malaysia, EESIM 2017 terbitan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Selain itu, ulasan teknikal juga merangkumi keperluan mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sekiranya aktiviti kilang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 dan keperluan mengemukakan notifikasi pemasangan alat kawalan pencemaran bagi memastikan pencemaran alam sekitar dari proses kilang dapat dicegah. Pada tahun 2020, sehingga Oktober, sebanyak 44 pertuduhan telah didaftarkan di mahkamah bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. Daripada jumlah tersebut, 36 kes telah selesai dengan keseluruhan denda sebanyak RM 560,000.00.

  3. Bilakah tindakan segera akan diambil untuk pencemaran parit?

    Kerajaan Negeri melalui agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian segera bagi menangani masalah pencemaran parit berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa. Ini termasuk mengenakan tindakan kompaun, notis arahan dan mengambil tindakan mahkamah ke atas pesalah-pesalah.

Lampiran

Tiada Lampiran.