Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
149) Rumah Selangorku
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan projek RSKU yang masih dalam pembinaan mengikut daerah dan projek RSKU belum mula sehingga Oktober 2020?
Untuk makluman Yang Berhormat, secara keseluruhan sebanyak 302 projek (134,595 unit) Rumah Selangorku (RSKU) telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerjaan Negeri (MMKN). Sehingga 15 Oktober 2020, sebanyak 51 projek (18,492 unit) RSKU telah siap dibina dan telah diserahkan kunci. Manakala, sebanyak 63 projek (21,102 unit) RSKU masih dalam pembinaan dan sebanyak 188 projek (95,001 unit) RSKU lagi masih dalam perancangan. Kerajaan Negeri merekodkan bilangan projek mengikut daerah dan perincian tersebut seperti berikut: –
-
Nyatakan tindakan LPHS dalam usaha mempercepatkan projek RSKU yang masih dalam projek belum bina dan pemaju telah mengambil deposit daripada pembeli?
Antara langkah-langkah Kerajaan Negeri bagi memastikan pemaju menyegerakan pembinaan Rumah Selangorku terutamanya bagi projek yang telah ditawarkan serta telah memperoleh pembayaran wang deposit daripada para pembeli adalah seperti berikut: –
- Pemantauan yang ketat dan konsisten melalui lawatan berkala ke lapangan oleh Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku) bagi mendapatkan status pembinaan yang terkini. Sekiranya pihak jawatankuasa mendapati tanda kelewatan membina oleh pihak pemaju, notis mengemukakan laporan kerja di tapak akan dikemukakan kepada pihak pemaju.
- Selain daripada kerja memantau kerja pembinaan di lapangan, jawatankuasa ini juga berperanan sebagai pemudah cara dan bertindak sebagai “mediator” sekiranya terdapat kelewatan pembinaan melibatkan permasalah teknikal di peringkat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak pembekal perkhidmatan Negeri Selangor (TNB, SYABAS dan lain-lain).
- Sekiranya LPHS mendapati kelewatan pembinaan ini adalah disebabkan ketidakpatuhan pemaju seperti gagal memulakan pembinaan sepertimana ditetapkan dibawah Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966, maka masalah tersebut akan dirujuk kepada badan pengawal iaitu Jabatan Perumahan Negara dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan selanjutnya.