Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

107) Larangan Pembabitan Warga Asing Membantu Perniagaan Kecil Di Premis Kerajaan

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah polisi larangan pembabitan warga asing membantu aktiviti perniagaan di premis Kerajaan ini dibuat oleh Kerajaan pusat?

    Polisi larangan pembabitan warga asing bagi membantu aktiviti perniagaan diputuskan oleh Kerajaan Negeri bagi aktiviti perniagaan penjaja.

  2. Mengapakah ianya terpakai kepada pasangan kepada rakyat Malaysia yang memiliki taraf pemastautin tetap juga?

    Polisi ini yang turut membabitkan warga asing yang mempunyai status pemastautin tetap diambil setelah meneliti pelbagai faktor termasuk bagi mengelakkan salah guna kelulusan lesen oleh pihak-pihak tertentu. Berdasarkan semakan, pihak PBT sering menerima alasan iaitu individu sebagai isteri atau suami kepada warga negara Malaysia adalah untuk membantu pasangan menjalankan perniagaan. Walau bagaimanapun, apabila diteliti secara risikan, yang sebenarnya menjalankan perniagaan tersebut adalah warga asing tersebut selaku pasangan kepada warga negara Malaysia. Oleh yang demikian, keputusan melarang penglibatan warga asing dalam aktiviti penjaja secara tidak langsung dapat mengelakkan dari individu yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan alasan sebagai jalan penyelesaian dan jalan mudah untuk mengelakkan diri dari dikenakan tindakan.

  3. Adakah sebarang jalan keluar menangani masalah tersebut?

    Pada masa ini, warga asing adalah tidak dibenarkan di bawah lesen penjaja selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri melalui pakai Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2020. Walau bagaimanapun, tiada larangan kepada mana-mana warga asing yang sah mengikut peruntukan undang-undang semasa untuk bertugas sebagai pembantu atau pekerja kepada pasangan mereka bagi perniagaan lain di bawah lesen tred.

Lampiran

Tiada Lampiran.