Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

104) Pengangguran Belia

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kadar pengangguran belia di Selangor akibat Covid-19?

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran belia yang berumur 15-30 tahun di Negeri Selangor pada tahun 2019 adalah 6.1 peratus dengan bilangan penganggur belia seramai 75.9 ribu orang.

    Kadar pengangguran belia di Negeri Selangor telah meningkat kepada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 dengan sejumlah 101.8 ribu orang penganggur berikutan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 bagi mengekang penularan COVID-19.


    Maklumat Tambahan:

    i. Statistik belia (15–30) menganggur dan kadar pengangguran, Malaysia dan Selangor, 2019 – ST2 2020 seperti jadual berikut:

     

    ii. Konsep Asas Statistik Tenaga Buruh

    1. Statistik tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB) dan merujuk kepada penduduk yang berumur 15-64 tahun semasa minggu rujukan.
    2. STB merupakan kajian sampel berkebarangkalian yang dilaksanakan melalui pendekatan isi rumah untuk mendapatkan maklumat anggaran tenaga buruh dan pengangguran peringkat penduduk. Kajian ini dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan badan antarabangsa iaitu International Labour Organization (ILO) yang diguna pakai oleh kebanyakan negara.
    3. Menganggur merujuk kepada mereka yang berada dalam tenaga buruh yang tidak bekerja semasa minggu rujukan tetapi bersedia untuk bekerja atau mencari kerja dalam minggu rujukan.
    4. Kadar pengangguranialah perkadaran penduduk yang menganggur kepada jumlah penduduk dalam tenaga buruh.
    5. Beliamengikut definisi Dasar Belia Malaysia (DBM) ialah penduduk dalam kumpulan umur 15 hingga 30 tahun.
  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan belia yang menganggur?

    Dalam mengendalikan krisis kesihatan awam global berikutan penularan wabak Covid 19, peningkatan kadar pengangguran merupakan masalah yang membimbangkan khususnya kepada golongan belia. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menyedari isu pengangguran ini dan telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Program Karnival Kerjaya – Selangor Mega Job Fair pada 3 dan 4 Oktober 2020 yang lalu di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam.

    Pelaksanaan Program Selangor Mega Job Fair semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini telah dirancang dengan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negeri dan telah mendapat persetujuan oleh Jawatankuasa Selangor Task Force Covid 19 (STFC). Sebanyak 60 majikan telah terpilih untuk menyertai karnival kerjaya ini dengan 6,832 jumlah kekosongan jawatan. Jumlah pencari kerja yang telah membuat pra – pendaftaran adalah seramai 9,969 orang. Namun begitu, Selangor Mega Job Fair ini terpaksa ditunda berikutan peningkatan jumlah penularan Covid 19 pada ketika itu. Program Selangor Job Fair ini akan dilaksanakan semula setelah jumlah kes bagi penularan wabak Covid 19 ini berkurang.

    Kerajaan Negeri Selangor juga mempunyai jalinan kerjasama dengan pihak JobsMalaysia di mana laman web JobsMalaysia berfungsi sebagai padanan dan carian pekerjaan atas talian bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencari kerja khususnya graduan boleh mendaftar di laman web www.jobsmalaysia.gov.my untuk mencari pekerjaan semasa pasca Covid 19 dan mendapat notifikasi padanan pekerjaan melalui emel yang telah didaftarkan secara percuma.

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor telah meperkenalkan inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi meraikan penglibatan orang muda dalam ekonomi gig serta bakal memperkasakan lebih ramai anak muda Selangor berumur 17 hingga 30 tahun. Inisiatif ini boleh membantu hampir 3,000 orang muda Selangor dengan subsidi Lesen Memandu B2 secara percuma dan menjana peluang sumber pendapatan buat diri sendiri serta keluarga melalui perkhidmatan penghantaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.