Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
83) Geopark Di Bukit Tabur Dan Permatang Kuartza
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagi pembangunan geopark di lokasi di atas:- Apakah peranan utama : LUAS, JPS, JPBD, Jabatan Perhilitan Selangor, JMG Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, MPAJ, MPS, Jabatan Perhutanan dan PDT(Gombak)?
Geopark adalah satu kawasan dengan keluasan bersesuaian, mempunyai sempadan yang jelas dan mengandungi beberapa tapak warisan geologi yang dikenali sebagai geotapak berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa yang dibangunkan secara lestari bagi meningkatkan apresiasi, tahap ekonomi dan nilai budaya penduduknya terhadap warisan geologi tersebut, terutama melalui penglibatan komuniti dalam aktiviti berteraskan pelancongan.
PKGS Sebagai GeotapakPermatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) merupakan antara 20 geotapak yang dicadangkan dalam Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor. Antara 20 geotapak lain yang telah dikenalpasti berpotensi adalah kawasan bekas lombong Batu Arang, Tasik Biru, Air Terjun Komanwel, Air Sungai Kanching, Empangan batu, Batu Kapur Batu Caves, Empangan Klang Gate, Air Terjun Sungai Gabai, Granit Gombak (Gunung Nuang) dan Granit Broga (Bukit Broga).
Peranan Utama Agensi Dalam Pembangunan Geopark
Dalam memastikan objektif geopark tercapai, LUAS, JPS, JPBD, Jabatan Perhilitan Selangor, JMG Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Perhutanan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT Gombak) merupakan antara agensi berkepentingan yang dilibatkan bersama dalam mempelopori pengurusan Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor.
Secara umumnya, pihak MPS, MPAJ dan MPKj berperanan dalam proses pemajuan, pemuliharaan serta penggunaan/perancangan tanah dan bangunan yang bersesuaian di bawah kawasan pentadbiran PBT masing-masing. Ini termasuklah dalam proses kebenaran merancang dan kawalan pembangunan yang perlu dijalankan bagi menyokong penubuhan Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor.
Manakala, agensi teknikal seperti LUAS, JPS, JPBD, Jabatan Perhilitan Selangor, JMG Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT Gombak) berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dalam kepakaran masing-masing, mengawal selia dan memudahcara proses ke arah pembangunan geopark. Selain itu, agensi-agensi berkepentingan ini juga bertindak dalam memastikan perancangan geopark adalah selaras dengan keperluan akta yang diperuntukkan dan memantau aktiviti yang dijalankan. -
Entiti manakah yang mempunyai kuasa tertinggi untuk mengetuai tindakan pembangunan tersebut?
Bagi membantu persiapan Kawasan Gombak-Hulu Langat Selangor ke arah penyenaraian sebagai Geopark Kebangsaan, Jawatankuasa Pro-Tempore perlu dibentuk. Antara fungsi Jawatankuasa ini adalah seperti berikut:
i. Mengenalpasti jawatankuasa saintifik yang akan membantu mengumpulkan maklumat geopark sedia ada dan menyediakan dossier;
ii. Mengenalpasti Jawatankuasa promosi yang akan bertindak mempromosikan geopark ke pelbagai peringkat pihak berkepentingan dan komuniti; dan
iii. mengenalpasti agensi yang berupaya untuk menjadi penyelaras pengurusan geopark berdasarkan mandate, kuasa dan kapasiti.
Sebagai makluman, PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) telah membentangkan satu kertas kerja Cadangan Pelaksanaan Geopark Negeri Selangor sebagai Geopark Kebangsaan dalam Mesyuarat Exco MTES Bil.24/2020 pada 15 Oktober 2020 yang telah mencadangkan penubuhan keahlian Jawatankuasa Pro-Tempore yang mana Pengarah UPEN telah dicadangkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa. Antara ahli-ahli yang turut dicadangkan di bawah jawatankuasa ini adalah PLANMalaysia@Selangor (Perancangan), Jabatan Mineral dan Geosains (Geologi), Jabatan Warisan Negara (warisan Geologi, Semulajadi dan Budaya), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, PADAT (warisan Budaya), Perbadanan Taman Negeri ((Kaji Bumi, Kaji Purba, Sejarah dan Etnologi), Unit Perancang Ekonomi (UPEN) (Bertanggungjawab ke atas pengagihan kewangan untuk pemasaran Geopark dan membangunkan prasarana), Jawatankuasa Saintifik dan Pakar Geopark yang terdiri daripada pakar daripada komuniti dan institusi penyelidikan (warisan Geologi, Semulajadi dan Budaya serta hubungkait antaranya), PBT yang bertanggungjawab sebagai pelaksana dan pihak berkuasa tempatan yang mengawalselia serta mengaturkan kawasan yang dicadangkan sebagai Geopark, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Lembaga Air Selangor (LUAS), Jabatan Pertanian, JAKOA dan mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri berkenaan.
Status semasa pelaksanaan Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor ialah dalam peringkat Fasa 1A iaitu penubuhan Jawatankuasa Promosi dan Program / Aktiviti Kesedaran) dan 1B iaitu fasa penyediaan maklumat dossier Geopark Kebangsaan.