Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
38) Fenomena Air Pasang Besar
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan tambahan Kerajaan Negeri kali ini bagi mendepani fenomena Air Pasang Besar?
Perancangan tambahan Kerajaan Negeri bagi mendepani fenomena air pasang besar adalah melalui perancangan tambahan jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
Bagi perancangan jangka masa pendek Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor sentiasa memastikan keadaan semasa integriti benteng pantai berada dalam keadaan baik dan stabil. Kekerapan pemantauan / pemeriksaan keadaan benteng dilaksanakan apabila air pasang besar berlaku. Pembaikan kecil dan kerja-kerja penyelenggaraan benteng giat dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan mengurus negeri. Persiapan dan operasi pam bergerak diaktifkan bagi kawasan-kawsan berisiko dinaiki air laut.
Bagi perancangan jangka masa panjang, satu (1) kajian Keberkesanan Benteng Pantai Negeri Selangor Ke atas Perubahan Aras Laut telah dipohon kepada Kerajaan Negeri melalui permohonan RMK-12 bagi mengenal pasti isu dan masalah yang berkaitan dengan benteng sediada memandangkan terdapat benteng-benteng sediada yang hampir mencecah 15-20 tahun. JPS telah memohon peruntukan sebanyak RM36 juta kepada Kerajaan Negeri di dalam RMK-12 bagi pelaksanaan projek memperkukuhkan benteng pantai di Daerah Sabak Bernam, Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sepang.
-
Bagaimana keadaan terkini ban di persisir pantai Negeri Selangor khasnya DUN Sementa bagi menghadapi fenomena berkenaan?
Negeri Selangor mempunyai ban pantai sepanjang 11.8km. Ban pesisiran pantai yang terlibat di DUN Sementa adalah Ban Kampung Sungai Serdang sepanjang 3.8km dan Ban Kampung Perepat sepanjang 8.0km dalam keadaan stabil di mana kerja penyelenggaraan dan pengukuhan ban telah dilakukan bagi menghadapi fenomena air pasang pada bulan September, Oktober dan November tahun 2020. Manakala ban sungai seperti Ban Sementa, Ban Tok Muda dan Ban Sungai Keramat adalah dalam keadaan stabil dan kukuh. Pemantauan dan pemeriksaan ban ini akan dilaksanakan secara berkala di tapak. Jabatan juga telah diluluskan peruntukan sebanyak RM12 juta di bawah peruntukan Fenomena Air Pasang Besar daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf ban pantai di Kg Tok Muda, Kg Sg Serdang, Kg Tok Adam dan Kg Sg Janggut.