Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

33) Kaitan Negeri Lain Dengan Masalah Air Negeri Selangor

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Selangor mendapat sumber bekalan air dari Negeri lain terutama negeri-negeri jiran?

    Sumber bekalan air mentah bagi Negeri Selangor diperolehi dari sungai-sungai utama dalam Negeri Selangor iaitu di Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Semenyih dan Sungai Gombak. Negeri Selangor juga mendapat bekalan air mentah dari Sungai Semantan (Negeri Pahang) sebagai sumber bekalan air bagi Loji Rawatan Air(LRA) Langat 2.

    Walau bagaimanapun terdapat juga aliran sungai bersempadan antara negeri yang digunakan bagi tujuan bekalan air di Negeri Selangor seperti berikut:

    i) Sungai Bernam (Negeri Perak) bagi muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek dan LRA Bernam River Headwork (BRH);

    ii) Sungai Labu (Negeri Sembilan) bagi LRA ORS Sungai Labu, Selangor; dan

    iii) Beberapa aliran sungai yang mengalir merentasi sempadan dari Negeri Sembilan ke Negeri Selangor seperti Sungai Pajam dan Sungai Buah yang merupakan anak sungai kepada Sungai Semenyih iaitu bekalan air mentah bagi LRA Sungai Semenyih.

  2. Adakah pernah berlaku gangguan bekalan air berpunca dari Negeri jiran?

    Sebanyak dua (2) insiden pencemaran yang menyebabkan berlakunya pencemaran sumber air mentah kepada Negeri Selangor. Kedua-dua kes ini melibatkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi. Perincian kes tersebut adalah seperti berikut :

    i) Henti tugas LRA Sungai Semenyih disebabkan oleh pencemaran bau daripada sisa solvent di KM45.9 Lebuhraya Elite menghala ke utara di dalam Negeri Sembilan pada 23 Oktober 2016. Pencemaran bau dalam air mentah tersebut mengalir masuk melalui Sungai Buah di Negeri Sembilan sehingga Negeri Selangor; dan

    ii) Henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran bau akibat pembuangan sisa industri yang dikesan di Sungai Batang Benar di Negeri Sembilan pada 4 Oktober 2020 yang mengalir masuk ke Sungai Pajam di Negeri Selangor.

    iii) Henti tugas LRA Sungai Selisik disebabkan oleh kemalangan lori tangki membawa muatan minyak diesel di KM 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (LPUS) berhampiran Behrang, Perak pada 27 Mei 2020 dan mengalir masuk ke Sungai Selisik.

  3. Apakah wujud kerjasama antara negeri Selangor dan negeri lain dalam isu bekalan air?

    Satu memorandum persefahaman antara operator-operator negeri telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berhubung bantuan dan kerjasama untuk menghantar bantuan lori-lori tangki semasa berlakunya krisis bekalan air. Justeru itu, Air Selangor sentiasa menghantar dan menerima bantuan lori tangki dari operator negeri lain semasa gangguan bekalan air tidak berjadual untuk tempoh yang panjang atau melebihi 2 hari.

    Maklumat Tambahan

    Selain itu, terdapat juga kerjasama di antara negeri Selangor dan negeri Pahang melalui Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) yang mana ia adalah satu skim yang membekalkan air dari Sungai Semantan (Pahang) yang disalurkan ke Selangor/Kuala Lumpur untuk kegunaan domestik dan industri sebagai sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air Langat 2. Projek ini terletak dalam banjaran Titiwangsa Semenanjung Malaysia yang merangkumi empat (4) komponen utama iaitu:

    (i) Empangan Kelau
    (ii) Muka Sauk dan Stesen Pam Semantan
    (iii) Saluran Paip Semantan
    (iv) Terowong Penyaluran Air Mentah.

    Projek ini direkabentuk untuk membekalkan air mentah sebanyak 1,890 Juta Liter Sehari (JLH). Muka Sauk dan Stesen Pam Semantan terletak di hiliran Sg. Semantan, di antara pertemuan Sg. Bentong dan Sg. Kelau di daerah Bentong di Negeri Pahang. Untuk rekod, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengambil alih operasi di Empangan Kelau dan Muka Sauk Semantan bermula 16 Mac 2020.

    Pada masa ini, penyaluran air mentah dari Pahang digunakan untuk pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 Stream B yang berkapasiti 565 JLH dan kini menghasilkan air terawat sebanyak 430 JLH yang dibekalkan ke Wilayah Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur.

Lampiran

Tiada Lampiran.