Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
352) PEMBANGUNAN LEBUHRAYA KL – KARAK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan dan pendirian Kerajaan Negeri berhubung pembangunan Lebuhraya KL - Karak ?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak Kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan laluan lebuh raya bagi melancarkan aliran trafik serta memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya secara berterusan. Projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan dan kerja-kerja awalan telah bermula pada Januari 2025. Skop pelebaran dengan penambahan satu (1) lorong setiap hala dari KM19.2 (Plaza Tol Gombak) hingga ke KM64.5 di Persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong dengan panjang keseluruhan 45.30 KM yang dijadualkan bermula pada penghujung Februari 2025 dan dijangka siap dalam tempoh empat (4) tahun iaitu pada tahun 2029. Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat yang besar kepada pengguna lebuh raya terutamanya dalam mengatasi isu kesesakan trafik, menambah baik ciri-ciri keselamatan dan rekabentuk lebuhraya sedia ada, pemasangan lampu jalan tambahan dari Genting Sempah ke Bentong dan kerja pelebaran hanya melibatkan koridor lebuhraya sedia ada di sepanjang projek pelebaran Lebuhraya KLK.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong projek-projek yang mendatangkan kebaikan kepada semua pihak dengan mengambil perhatian terhadap keselamatan,keselesaan,kemudahan penduduk tempatan serta menyokong kesan limpahan ekonomi (“economic spillover benefits”) dengan menambah baik infrastruktur pengangkutan. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menekankan perlunya pengawasan dan penyelarasan projek agar impaknya terhadap alam sekitar dan komuniti dapat diminimumkan.