Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

332) PENDIDIKAN KHAS BAGI GOLONGAN OKU PEMBELAJARAN DI BTP

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Tindakan JPNS dan JKNS dalam mengenalpasti pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran dari peringkat awal?

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan isu mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran dari peringkat awal. Dalam hal ini, Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) Selangor dengan kepakaran pegawai Psikologi Pendidikan, Terapi Cara Kerja, Terapi Pertuturan-Bahasa, Audiologis dengan kerjasama pasukan perubatan di klinik kesihatan telah membuat rujukan kes-kes kelewatan perkembangan dan penilaian lanjut bagi klien yang didapati memenuhi kriteria dan ciri-ciri berkeperluan khas seawal umur 4 tahun. Klien ini telah dibuat penilaian awal, menerima sesi intervensi dan ibu bapa telah menerima konsultasi. Laporan penilaian yang komprehensif diberikan kepada pasukan perubatan untuk tindakan kepakaran mereka selanjutnya. Bagi murid-murid prasekolah perdana yang mempunyai ciri-ciri berkeperluan khas akan menerima penilaian dan intervensi awal di peringkat prasekolah melalui pelaksanaan Program Pengesanan Perkembangan dan Intervensi Murid Prasekolah (ProsPIM).

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Selangor juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam pelaksanaan Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (PROSPER) semenjak tahun 2021 hingga 2024. Program ini melibatkan penglibatan pasukan pelbagai bidang 3PK dari Sektor Pendidikan Khas, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), Pejabat Kebajikan Masyarakat, Bank Simpanan Nasional dan agensi swasta. PROSPER memberi fokus kepada aktiviti saringan murid pemulihan khas tahap 2 iaitu berumur 9 hingga 12 tahun yang telah dikesan oleh guru kelas tidak menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis serta menunjukkan ciri-ciri murid berkeperluan pendidikan khas. Murid-murid pemulihan yang didapati memenuhi kriteria murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan menerima pengesahan kategori ketidakupayaan berkaitan oleh pegawai perubatan yang bertugas di program PROSPER tersebut. Bagi murid yang memerlukan penilaian lanjutan oleh doktor pakar akan dirujuk ke klinik kesihatan dan hospital kerajaan bagi proses selanjutnya. Murid yang telah disahkan sebagai MBPK melalui program PROSPER akan ditempatkan sama ada di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau di Program Pendidikan Inklusif (PPI).

  2. Apakah ada apa-apa perancangan dari Kerajaan Negeri untuk menjamin masa depan pelajar-pelajar kelas PPKI?

    Demi menjamin masa depan MBPK di PPKI, JPN Selangor memastikan MBPK dapat menerima pendidikan selaras dengan tahap keupayaan mereka. Bagi MBPK yang mempunyai tahap kefungsian tinggi akan mengikuti pembelajaran di arus perdana menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) melalui Program Pendidikan Inklusif (PPI) Penuh dan mengambil peperiksaan awam seperti SPM atau STPM. Manakala bagi MBPK yang mempunyai tahap kefungsian sederhana dan rendah di PPKI akan mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) dengan mengambil kemahiran Asas Vokasional (KAV) atau Kemahiran Vokasional Spesifik (KVS). MBPK di PPKI akan dinilai melalui Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) bagi murid berkefungsian rendah, manakala murid berkefungsian sederhana akan dinilai melalui Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) Micro Credential. MBPK yang mempunyai sijil SKM Micro Credential berpeluang melanjutkan pelajaran ke kolej komuniti atau pusat latihan vokasional dan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan. Selain itu, JPN Selangor juga mengambil inisiatif bekerjasama dengan Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi membantu menyediakan laluan kebolehpasaran MBPK melalui Program Independent Living Support Centre (ILSC). Program ini dicetuskan sebagai inisiatif dalam menyediakan peluang melanjutkan pembelajaran dalam bidang kemahiran dan seterusnya pihak ILSC akan membuka peluang pekerjaan kepada MBPK yang berjaya mengikuti program ILSC. Di bawah program ILSC, terdapat 2 program utama yang dikendalikan bersesuaian dengan keperluan semasa MBPK/ belia OKU.

     

    • Employment Transition & Work Readiness (ETWR)

    Program persediaan kerjaya berserta kursus latihan kemahiran dan transisi kerjaya adalah program yang disediakan oleh Jabatan ANIS kepada belia OKU yang mengalami masalah pembelajaran di Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 2 program dalam ETWR iaitu:

    1. i) Program Persediaan Alam Pekerjaan

    Untuk makluman Yang Berhormat, program ini akan mengajar kepada MBPK tentang literasi kerjaya secara praktikal serta membina aspirasi kerjaya. ILSC yang bekerjasama dengan pihak Jabatan ANIS menawarkan kursus yang berbeza. Berikut antara ILSC yang menawarkan kursus kemahiran kepada MBPK/ Belia OKU:

    Rumah Amal Cheshire:

    1. Kursus jahitan selama 4 bulan di mana kursus teori selama 3 bulan dan latihan industri sebulan.
    2. Kursus Bakeri selama 3 bulan di mana kursus teori selama 2 bulan dan latihan industri selama sebulan.

     

    Infinite Minds Academy:

    1. Pengurusan Pejabat
    2. Teknologi Digital
    3. Kecerdasan Buatan

    PERKOBP Puchong:

    1. Kemahiran Pembuatan Pastri
    2. Kemahiran Pembuatan Roti

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN):

    1. Coffee Barista
    2. Kemahiran Pembuatan Roti
    3. Kemahiran Dobi
    4. IT
    5. Cenderamata sukan

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, MBPK yang tamat belajar pada umur 19 tahun akan digalakkan untuk menyertai ILSC dengan persetujuan ibu bapa.

     

    1. ii) Program Pencarian Pekerjaan

    Program ini menyediakan platform penempatan pekerjaan kepada OKU yang berusia 18 hingga 35 tahun. Untuk makluman Yang Berhormat, program ini dianjurkan bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan OKU dalam mendapatkan pekerjaan yang lebih terjamin. Program ini dijalankan dengan kerjasama pihak PERKESO.

     

    2) Job Coach and Disability Equality Training

    Latihan kepada sukarelawan dan majikan untuk membantu OKU di tempat kerja.

    Program Job Coach (terbuka kepada sukarelawan)

    Untuk makluman Yang Berhormat, program ini disediakan untuk mereka yang berminat menjadi jurulatih atau pemantau kepada golongan OKU yang baru memulakan kerja di syarikat luar. Job Coach ini bertanggungjawab menjaga kebajikan dan hubungan baik antara pekerja OKU dan majikan yang mengambil mereka bekerja.

    Program Disability Equality Training (DET) (terbuka kepada majikan)

    Program ini memberikan pendedahan kepada majikan untuk mewujudkan suasana inklusif OKU di tempat kerja. Majikan yang terlibat akan berusaha untuk mengubah dasar dan amalan syarikat, serta menaiktaraf infra bagi memberikan akses kepada OKU bekerja di tempat mereka. (keutamaan kepada anak syarikat kerajaan negeri Selangor)

Lampiran

Tiada Lampiran.