Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

329) AIDS DAN HIV

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah statistik terbaru penyakit HIV di negeri Selangor? Senaraikan kategori penghidap HIV di negeri Selangor dan apakah rawatan serta pencegahan yang telah dilaksanakan bagi mencegah penularan wabak ini?

    Berdasarkan data National AIDS Registry KKM 2024, negeri Selangor telah mencatatkan bilangan pendaftaran kes baru HIV seramai 1,098 kes pada tahun 2024, menjadikannya negeri dengan jumlah kes tertinggi di negara ini. Seramai 994 kes (90.5%) merupakan lelaki dan 104 kes (9.5%) perempuan. Pesakit warganegara merangkumi 895 kes (81.5%) manakala warganegara asing merangkumi 203 kes (18.5%). Pecahan cara jangkitan penyakit HIV adalah seperti berikut: jangkitan melalui hubungan homoseksual/ men having sex with men (MSM) seramai 699 kes (63.7%), melalui hubungan heteroseksual seramai 349 kes (31.8%), melalui perkongsian jarum suntikan dadah seramai 26 kes (2.7%) dan 24 kes (2.2%) melalui cara jangkitan lain-lain.

     

    Untuk makluman Yang di Pertua, penyakit HIV kini dapat dikawal dengan berkesan melalui Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART). Pesakit yang berjaya mengurangkan viral load ke tahap tidak dapat dikesan (undetectable) tidak akan menularkan jangkitan kepada orang lain (Undetectable = Untransmittable, U=U).

     

    Perkhidmatan saringan dan pengesahan HIV disediakan di semua fasiliti kesihatan untuk semua warganegara Malaysia secara percuma dan untuk warga asing dengan caj. Perkhidmatan rawatan Antiretroviral (ART) dan rawatan susulan untuk pesakit HIV terdapat di 12 buah hospital kerajaan dan 62 buah Klinik Kesihatan di negeri Selangor.

     

    Untuk langkah pencegahan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Malaysian AIDS Council (MAC) telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi mengurangkan penularan HIV/AIDS di Malaysia. Langkah-langkah ini merangkumi pendekatan kesihatan awam, rawatan, dan advokasi bagi memastikan matlamat Malaysia bebas AIDS menjelang 2030 tercapai.

     

     

     

     

     

    Langkah Pencegahan HIV/AIDS oleh KKM:

     

    1. Program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction Program)

    Program ini ditujukan kepada pengguna dadah suntikan (PWID) untuk mengurangkan risiko penularan HIV. Dua komponen utama ialah:

     

    1. Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP)

    Memberikan jarum dan alat suntikan steril secara percuma kepada pengguna dadah bagi mengelakkan perkongsian jarum tercemar. Program ini dijalankan oleh NGO yang bekerjasama dengan KKM.

     

    1. Terapi Gantian Methadon (MMT)

    Pesakit diberi methadon sebagai alternatif kepada heroin untuk mengurangkan keinginan menggunakan dadah suntikan. Program ini dilaksanakan di hospital, klinik kerajaan, dan fasiliti swasta.

     

    1. Program Pencegahan Penularan HIV daripada Ibu ke Anak (PMTCT)

    Program ini memberi perkhidmatan saringan HIV untuk ibu hamil di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta rawatan Antiretroviral (ART) diberikan kepada ibu hamil yang positif HIV untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada bayi. Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang hidup dengan HIV akan diberi ubat pencegahan (Nevirapine) selama 4-6 minggu.

    Ibu juga tidak dibenarkan penyusuan susu ibu untuk mengurangkan risiko penularan HIV melalui susu ibu. Bayi akan dibekalkan susu tepung secara percuma untuk warganegara dan 50% daripada kadar fi sedia ada untuk warga asing.

     

    1. Rawatan Sebagai Pencegahan (TasP – Treatment as Prevention)

    Semua warganegara yang hidup dengan HIV diberi rawatan ART secara percuma di hospital dan klinik kesihatan kerajaan. Ini adalah untuk mencapai sasaran rawatan U=U, iaitu apabila tahap virus dalam badan menjadi tidak dapat dikesan (undetectable), mereka tidak boleh menjangkiti orang lain (U=U, Undetectable = Untransmittable).

     

    Semua Klinik Kesihatan menyediakan perkhidmatan kesihatan seksual dan ujian HIV kepada individu berisiko tinggi. Saringan dan rawatan bagi jangkitan seksual lain (STI) seperti sifilis dan gonorea yang boleh meningkatkan risiko HIV.

     

    1. Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dan Post-Exposure Prophylaxis (PEP)

    Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) merujuk kepada pengambilan ubat pencegahan untuk individu yang berisiko tinggi mendapat HIV (contohnya, pasangan HIV negatif yang mempunyai pasangan HIV positif). Ubat ini perlu diambil setiap hari sebelum pendedahan kepada risiko HIV. Buat masa ini, perkhidmatan PrEP disediakan di Klinik Kesihatan tertentu sahaja. Di negeri Selangor, terdapat 4 klinik kesihatan PrEP GOV iaitu Klinik Kesihatan Ampang, Klinik Kesihatan Pandamaran, Klinik Kesihatan Kelana Jaya dan Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam.

     

    Bagi Post-Exposure Prophylaxis (PEP) pula, ubat kecemasan diambil dalam tempoh 72 jam selepas terdedah kepada HIV dan hanya berkesan jika diambil secara konsisten selama 28 hari. Kini rawatan ini disediakan di klinik dan hospital swasta tertentu sahaja.

     

    1. Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (PROSTAR)

    Progam ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan berkaitan HIV/AIDS dalam kalangan remaja melalui pendekatan rakan sebaya. Program ini memberi penekanan kepada gaya hidup sihat, kemahiran membuat keputusan, dan pencegahan tingkah laku berisiko untuk mengurangkan penularan HIV di peringkat komuniti.

     

    Langkah Pencegahan HIV/AIDS Oleh Malaysian AIDS Council (MAC)

     

    Malaysian AIDS Council (MAC) adalah gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan KKM untuk melaksanakan program pencegahan HIV di Malaysia.

     

    1. Ujian Saringan dan Kaunseling HIV

    NGO menjalankan ujian HIV secara percuma di komuniti berisiko tinggi, termasuk pekerja seks, pengguna dadah, dan golongan MSM dan transgender. Ujian saringan kendiri (self-testing test kit) juga boleh didapati secara percuma melalui laman web “Test Now” (https://testnow.com.my/).

     

    Pihak NGO juga menjalankan Program U=U (Undetectable = Untransmittable) untuk meningkatkan kesedaran bahawa pesakit HIV yang menerima rawatan tidak akan menularkan virus kepada pasangan mereka.

     

    1. Program Outreach dan Sokongan Komuniti

    NGO di bawah MAC juga menyediakan khidmat sokongan dan pendidikan mengenai HIV, menyediakan pusat perlindungan dan sokongan untuk komuniti terpinggir yang terjejas oleh HIV/AIDS dan program peer support yang melibatkan pesakit HIV membantu antara satu sama lain dalam pematuhan rawatan dan kesihatan mental. Usaha ini adalah penting untuk memastikan pesakit patuh kepada rawatan ART dan mengurangkan aktiviti berisiko tinggi.

     

    1. Advokasi Hak dan Anti-Stigma HIV

    MAC dan NGO di bawahnya secara aktif menjalankan kempen kesedaran bagi menghapuskan stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV. Usaha ini turut memperjuangkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan tanpa diskriminasi di tempat kerja dan dalam masyarakat. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang inklusif dan bebas diskriminasi untuk menggalakkan pesakit mendapatkan rawatan serta mematuhi terapi dengan lebih berkesan.

Lampiran

Tiada Lampiran.