Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
328) OBESITI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Obesiti adalah masalah negara. Apakah statistik obesiti di negeri Selangor dan apakah kerugian ekonomi yang dicatatkan akibat daripada penyakit dan komplikasi berkaitan obesiti di kalangan rakyat Selangor? Apakah usaha kerajaan bagi mengatasi masalah ini?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, masalah obesiti berlaku apabila terjadi ketidakseimbangan antara tenaga atau kalori yang diambil melalui makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan. Hasil daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey), mendapati tren peningkatan bagi obesiti untuk negeri Selangor, iaitu dari 17.1% pada tahun 2011 kepada 18.7% pada tahun 2015 dan seterusnya 19.3% pada tahun 2019.
Obesiti bukanlah sekadar masalah kosmetik atau rupa paras semata-mata. Ia boleh menyebabkan peningkatan risiko penyakit tertentu seperti sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan kanser. Sehubungan itu, peningkatan tren obesiti menyumbang kepada peningkatan pesakit yang menghidapi penyakit-penyakit tersebut. Ini memberi beban yang besar kepada ekonomi dan kewangan negara. Sebagai contoh, kos untuk merawat penyakit diabetes sahaja mencecah RM4.38 bilion setahun pada tahun 2017 berbanding RM2.04 bilion pada tahun 2011.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) secara berterusan giat mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai amalan gaya hidup sihat terutama tentang amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal melalui kempen-kempen kesihatan seperti Kempen Kurangkan Gula, Minum Air Kosong, 10 Ribu Langkah dan lain-lain lagi. Selain itu, Program Pengurusan Berat Badan juga dilaksanakan di peringkat tempat kerja mahupun komuniti.