Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
324) INFRASEL
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan jumlah projek yang dilaksanakan Infrasel sejak ditubuhkan dan nilai projek-projek ini. Senaraikan juga kesemua syarikat yang menerima lantikan bagi menjalankan kerja-kerja bagi pihak Infrasel beserta dengan nilai projek. Apakah tatacara prosedur lantikan kontraktor yang diamalkan Infrasel?
Infrasel Sdn. Bhd. (INFRASEL) merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang dilantik untuk melaksanakan tugas penyelenggaraan jalan-jalan negeri di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor melalui Kontrak Jangka Panjang (KJP).
Berikut adalah projek – projek yang dilaksanakan beserta nilai :
Kerja-kerja penyelenggaraan dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu penyelenggaraan rutin dan penyelenggaraan berkala. Bagi penyelenggaraan rutin, dengan peruntukan tahunan sebanyak RM 50 juta, kerja-kerja yang terlibat meliputi:
- Penyelenggaraan pothole (R01)
- Penyelenggaraan bahu jalan (R02)
- Pemotongan rumput (R03)
- Perabot jalan (R04)
- Jambatan dan laluan pejalan kaki (R05)
- Garisan jalan (R06)
- Longkang (R07)
- Pembersihan jalan (R08)
Sementara itu, kerja-kerja penyelenggaraan berkala melibatkan pembaikan pavement dan bukan pavement mengikut Arahan Kerja (AK) yang diluluskan oleh pihak JKR, dengan peruntukan sebanyak RM 2 juta setahun untuk setiap daerah di Negeri Selangor. Terdapat juga kerja tambahan yang diberikan oleh JKR sekiranya terdapat lebihan daripada peruntukan MARRIS, yang tidak dapat dilaksanakan melalui sebutharga disebabkan faktor kecemasan atau keadaan jalan yang kritikal, memerlukan pembaikan segera.
Sepanjang tempoh kontrak ini, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebahagian daripada belanjawan MARRIS bagi pelaksanaan program Projek Turapan Mega di seluruh Negeri Selangor untuk jalan-jalan yang dikendalikan oleh JKR, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Pejabat Daerah & Tanah (PDT). Peruntukan bagi projek ini adalah sebanyak RM 50 juta untuk tahun 2023 dan RM 20 juta untuk tahun 2024.
Berikut jumlah rakan kontraktor yang menerima lantikan mengikut kriteria dan kategori :
No. Perkara Penyelenggaraan Rutin
Penyelenggaraan Berkala
1. Bilangan Syarikat Memohon Pendaftaran 2156 1260 2. Bilangan Syarikat Lulus Pre-Q 359 334 3. Bilangan Syarikat yang Dilantik 104 130 Tatacara prosedur lantikan kontraktor adalah seperti berikut :
Secara dasarnya, Infrasel membuka peluang pendaftaran kepada semua kontraktor berlesen CIDB dari Gred G1 hingga G7, yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan kerja-kerja dalam skop yang ditetapkan, iaitu:
- Penyelenggaraan rutin;
- Pembaikan longkang;
- Pembaikan cerun;
- Kerja-kerja kecemasan pemotongan pokok; dan
- Pembaikan pavement.
Proses pra-kelayakan (Pre-Q) dilaksanakan, di mana kontraktor perlu memiliki pengalaman yang relevan dengan skop kerja yang akan dilaksanakan, selain kedudukan kewangan yang mencukupi untuk pusingan modal operasi. Keutamaan diberikan kepada kontraktor yang berdaftar dan berpengalaman dalam tempoh terdekat di Negeri Selangor.
Kontraktor-kontraktor yang melepasi fasa Pre-Q akan melalui proses sebutharga (Request for Quotation) bagi setiap kerja yang diberikan dan akan dinilai dari aspek rekod tempoh mobilisasi, keupayaan jentera dan tawaran harga yang kompetitif. Bagi kerja-kerja rutin, kontrak diberikan selama satu tahun, manakala kerja selain rutin adalah berdasarkan arahan-arahan kerja pembaikan yang dikeluarkan oleh JKR atau agensi-agensi berkaitan pada satu-satu masa.
INFRASEL komited untuk memastikan semua projek penyelenggaraan dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh agensi yang berkaitan.