Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
319) POKOK GIAM KANCHING
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan negeri mempunyai rancangan strategik untuk menjadikan habitat pokok Giam Kanching berhampiran Jalan Pintasan Rawang sebagai destinasi pelancongan utama yang memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat? Jika ya, apakah bentuk manfaat yang dijangkakan?
Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melihat usaha konservasi spesies Hopea subalata sebagai satu aspek yang amat penting dalam projek Jalan Pintasan Rawang memandangkan spesies ini tergolong dalam kategori sangat terancam (Critically Endangered) dan hanya boleh didapati di kawasan Hutan Simpan Kunching, Selangor. Oleh kerana pembangunan infrastruktur seperti Jalan Pintasan Rawang boleh memberi kesan terhadap habitat semulajadi pokok ini, JPNS mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa prinsip-prinsip pemuliharaan dipatuhi dan ekosistem yang ada tidak terjejas secara serius.
Cadangan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan merupakan satu inisiatif yang sangat bernilai dalam usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat. Walaubagaimanapun, usaha ini perlulah mengambilkira kesan negatif yang besar terhadap spesies terancam ini dan memastikan langkah-langkah mitigasi yang sesuai diambil untuk melindungi biodiversiti di kawasan HS Kunching seperti berikut:
- Mengadakan kajian impak alam sekitar (EIA) sebelum memulakan projek. Kajian ini bertujuan untuk menilai potensi kesan negatif terhadap biodiversiti dan spesies terancam di kawasan yang terlibat.
- Bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan, dan pihak kontraktor bagi memastikan segala peraturan dan garis panduan pemuliharaan dipatuhi. Ini termasuk memastikan bahawa kawasan yang dilindungi, seperti HS Kunching, tidak akan terganggu oleh pembangunan jalan raya, serta meminimumkan sebarang aktiviti yang boleh merosakkan habitat semulajadi spesies Hopea subalata.
- Cadangan langkah-langkah pengganti yang boleh diambil termasuklah penanaman semula spesies Hopea subalata dengan spesies yang sama di kawasan lain, serta mewartakan lebih banyak kawasan hutan sebagai kawasan perlindungan. Langkah ini adalah penting bagi memastikan kelangsungan hidup spesies Hopea subalata dan menjaga keseimbangan ekosistem secara keseluruhan.
-
Berapa jumlah peruntukan atau bajet yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan negeri untuk mempromosikan habitat pokok Giam Kanching sebagai daya tarikan pelancongan? Apakah projek atau inisiatif utama yang telah dilaksanakan?
Tiada peruntukan khas yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan habitat spesies Hopea subalata sebagai daya tarikan pelancongan. Namun Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan di bawah Projek Pembangunan Negeri (P10) bagi melaksanakan aktiviti Pengurusan Kawasan Hutan Pemeliharaan Bernilai Tingggi (HCV). Peruntukan ini turut digunakan untuk penubuhan dan penyelenggaraan petak-petak HCV di Negeri Selangor termasuk HCV Hopea subalata.
-
Adakah kerajaan negeri mempunyai cadangan atau rancangan untuk membiakkan pokok Giam Kanching di kawasan lain dalam hutan simpan di Selangor sebagai langkah pemeliharaan tumbuhan endemik ini? Jika ya, apakah perancangan jangka pendek dan panjang untuk melaksanakan usaha tersebut, dan bagaimana inisiatif ini dapat dimanfaatkan untuk tujuan pemeliharaan biodiversiti serta pembangunan pelancongan berasaskan alam semula jadi?
JPNS memandang serius dan sentiasa proaktif terhadap usaha konservasi spesies Hopea subalata supaya spesies ini dapat terus hidup dan berkembang di negara ini. Pihak JPNS juga sedang berusaha untuk mendapatkan benih atau anak pokok spesies ini serta mengenal pasti kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang berpotensi menjadi tempat baru. Selain itu, JPNS turut memperkenalkan program pembenihan dan penanaman semula di kawasan yang sesuai bagi memastikan populasi spesies ini dapat berkembang di luar kawasan asalnya.
JPNS sedang berusaha untuk memperbanyakkan kutipan anak benih untuk ditanam di HSK yang sedang dikenalpasti sesuai dan berpotensi.
JPNS juga berhasrat agar penyelidikan dan pemantauan berterusan terhadap spesies Hopea subalata dapat dijalankan. Penyelidikan mengenai biologi, genetik, dan ekosistem pokok ini amat penting untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan pemuliharaan spesies tersebut.