Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

299) PENGURUSAN KEBERSIHAN & SAMPAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memperbaiki sistem pengurusan sampah terutamanya di kawasan yang mengalami masalah pengumpulan sampah secara tidak teratur?

    Kerajaan Negeri bertekad untuk mewujudkan persekitaran yang sihat dan lestari bagi generasi masa depan. Justeru, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang proaktif untuk memperkukuhkan sistem pengurusan sisa di Negeri Selangor terutamanya di kawasan yang mengalami masalah pengumpulan sampah secara tidak teratur. Antara inisiatif yang diambil adalah seperti berikut :

     

    • Mengoptimumkan jadual pengumpulan sampah dengan mengambil kira kepadatan populasi dan kadar penghasilan sampah di sesuatu kawasan. Ini termasuk penetapan jadual kutipan sampah yang lebih kerap di kawasan yang mempunyai populasi tinggi;

     

    • Menggunakan teknologi seperti CCTV bagi memantau kawasan yang sering mengalami masalah sampah terkumpul. Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memasang 27 unit CCTV di lokasi pembuangan sampah seperti di Jalan PJU 1A/7, Jalan PJS 1/21A, dan Jalan 18/17. Maklumat ini digunakan oleh pihak Majlis untuk mengambil tindakan segera jika ada pengumpulan sampah yang tidak teratur;

     

    • Memastikan tong sampah yang mencukupi dan sesuai disediakan di kawasan awam dan perumahan;

     

    • Memastikan pematuhan undang-undang berkaitan dengan pengurusan sisa dikuat kuasakan;

     

    • Mengenakan penalti kepada pihak yang gagal mematuhi peraturan berkaitan dengan pengurusan sisa;

     

    • Melaksanakan pemantauan berkala terhadap perkhidmatan KDEBWM termasuk aduan yang diterima daripada penduduk;

     

    • Mesyuarat dan perbincangan di antara PBT dengan KDEBWM bagi membincangkan isu-isu semasa di tapak;

     

    • Menjalin kerjasama dengan pihak NGO dan syarikat swasta dalam pengurusan sisa dan kitar semula untuk meningkatkan kecekapan kutipan sisa dan kitar semula; dan

     

    • Menggalakkan komuniti untuk terlibat secara aktif dalam menjaga kebersihan kawasan perumahan. Sebagai contoh, pelaksanaan program gotong-royong oleh komuniti dan pemberian insentif untuk komuniti yang mencapai tahap kebersihan yang tinggi seperti Anugerah Komuniti Zon Bersih Mini (Mini Zee Bee) oleh MBSA;
  2. Bagaimana kerajaan Negeri meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai kepentingan kebersihan alam sekitar?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan alam sekitar seperti berikut:

     

    • Penyampaian maklumat / mesej kesedaran mengenai penjagaan kebersihan melalui saluran media sosial, billboard, banner, risalah dan secara terus semasa sesi pertemuan dengan penduduk (sesi townhall, mesyuarat, dan pelaksanaan program);

     

    • Melantik Duta Sifar Sisa di kalangan komuniti yang bertindak sebagai medium perantaraan di antara pihak PBT dan penduduk untuk menyampaikan maklumat serta melaksanakan inisiatif program berkaitan pengurangan sisa dan penjagaan kebersihan kawasan persekitaran;

     

    • Menggalakkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan penduduk melaksanakan program gotong royong di kawasan perumahan secara berkala;

     

    • Melaksanakan Kempen Sambutan World Clean Up Day pada setiap tahun dengan melibatkan ahli Majlis Perwakilan Penduduk mengikut Zon dengan melaksanakan aktiviti pembersihan, gotong royong dan plogging; dan

     

    • Melaksanakan Anugerah Hijau Komuniti Zon Bersih Mini Zee Bee oleh Majlis Bandaraya Shah Alam di kalangan persatuan penduduk MPP yang menerapkan elemen penjagaan kebersihan kawasan komuniti, pengurusan sisa yang teratur dan pengindahan kawasan persekitaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.