Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

296) PENGURUSAN BENCANA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang akan dan sedang Kerajaan Negeri laksanakan dalam pengurusan bencana alam?

    Untuk makluman Yang Berhormat, melalui inisiatif Smart Selangor di bawah domain Smart Disaster Management, Kerajaan Negeri Selangor telah merangka perancangan yang menyeluruh bagi penggunaan teknologi termasuk kepintaran buatan (AI) dalam pengurusan bencana. Antara usaha yang telah dijalankan adalah penubuhan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) dan District Disaster Operation Centre (DDOC) dengan kerjasama strategik Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Bahagian Pengurusan Maklumat, 9 Pejabat Daerah & Tanah serta Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

     

    SSOC memainkan peranan penting dalam memantau indikasi petunjuk cuaca secara real-time, membantu mengenal pasti risiko awal bencana, serta menyelaras komunikasi antara DDOC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat pusat. Pusat ini juga memanfaatkan teknologi pengumpulan data dan analitik berasaskan AI untuk memberikan ramalan bencana yang lebih tepat dan membantu dalam proses membuat keputusan yang lebih cepat dan berkesan.

     

    Tambahan kepada inisiatif-inisiatif ini, Defence Geospatial Information Management (DGIM) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga berfungsi sebagai sistem yang penting dalam pengurusan maklumat geospatial semasa bencana. DGIM menyokong operasi dengan menyediakan peta kawasan terjejas, pemantauan masa nyata melalui imej satelit dan dron, serta analisis risiko yang membantu NADMA dan Kerajaan Negeri Selangor untuk membuat keputusan respons berdasarkan maklumat lokasi. DGIM turut memberi maklumat kritikal mengenai laluan yang selamat bagi bantuan kecemasan dan lokasi yang memerlukan perhatian segera, memastikan sumber diagihkan dengan cekap.

     

    Melalui pendekatan ini, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengurangkan risiko bencana dan memastikan setiap tindakan respons adalah cekap dan berpandukan data terkini. Penggunaan DGIM yang bersepadu dengan teknologi lain seperti SSOC dan DDOC menjadikan respons terhadap bencana lebih pantas dan berkesan, dengan mengutamakan keselamatan dan keberkesanan pengagihan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

     

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah menjalankan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) melalui kerjasama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan NGO – National Disaster Management Association (NADIM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diperluaskan kepada komuniti setempat di sembilan (9) Daerah di Negeri Selangor bagi memupuk kesedaran, meningkatkan daya tahan dan tindakan proaktif penduduk yang terdedah dengan risiko bencana.

  2. Bagaimana pelan ini akan dilaksanakan di kawasan yang kerap dilanda banjir?

    Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor telah melaksanakan penyelarasan pelan tindakan operasi agensi keselamatan berdasarkan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1: Dasar Dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara bagi setiap sembilan (9) daerah di Negeri Selangor.

     

    Selain dari pada itu juga, sekiranya daerah memerlukan bantuan agensi keselamatan akan mengaktifkan bantuan Pasukan Sokongan (Tahap 2 Keatas) bagi membantu.

    1. PDRM – Pasukan Bantuan PGA Briged Tengah (CDRT) & Marin Klang
    2. JBPM – Pasukan MTL Red Team HQ (1 x pegawai & 4 x anggota penyelamat, 1 x lori, 1 x kenderan utiliti, 1 x bot penyelamat) dan Negeri Berhampiran
    3. APM – Pergerakan dari zon (yang tidak kritikal) atau APM Negeri
    4. ATM – Pergerakan dari pasukan berhampiran

     

    Penyelarasan pelan tindakan operasi keselamatan ini dilaksanakan adalah untuk:

    1. Penyelarasan keanggotaan dan aset agensi keselamatan bagi membantu daerah yang memerlukan
    2. Mempercepatkan bantuan mencari dan menyelamat (SAR) kepada mangsa di daerah yang terjejas
    3. Melaksanakan persediaan menghadapi kejadian bencana yang besar dan luar jangka
    4. Menyelaras koordinasi agensi/jabatan peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)

Lampiran

Tiada Lampiran.