Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
281) PEMBANGUNAN TVET DI SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah penuntut semasa di kesemua institusi TVET yang berdaftar di Negeri Selangor?
Selangor Technical Skills Development Center (STDC) merupakan satu institusi TVET sepenuhnya di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Bagi tahun 2025, STDC Kampus Kuala Selangor kini menampung 588 pelajar yang sedang mengikuti program sepenuh masa dengan pelbagai kursus yang ditawarkan dengan kapasiti pelajar antara 500 – 800 orang pelajar setiap tahun. Sementara itu, bilangan pelajar yang menyambung pelajaran di STDC Kampus Shah Alam bagi tahun akademik 2023–2024 mencapai 800 orang, bergantung kepada program profesional jangka pendek yang dilaksanakan. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya bilangan pelajar terus bertambah dari semasa ke semasa, menandakan peningkatan permintaan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional. Ini mencerminkan usaha STDC dan Kerajaan Negeri dalam mempromosikan TVET di kalangan masyarakat, serta memperkukuh pengiktirafan TVET sebagai pilihan pendidikan yang relevan dan menyediakan kemahiran terbaik untuk golongan belia Selangor.
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri dalam memastikan silibus TVET khususnya di institusi TVET di bawah Kerajaan Negeri selari dengan tuntutan industri?
Kerajaan Negeri Selangor memainkan peranan penting dalam memastikan silibus TVET di institusinya sentiasa selari dengan keperluan industri semasa. Bagi mencapai objektif ini, kerajaan telah mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak industri utama, antaranya Perodua, Volkswagen, Wrightbus Malaysia, Aerodyne, Daikin, dan Yamaha dalam program IKTISASS Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Di samping itu, STDC Kampus Shah Alam yang menawarkan Program IKTISASS Profesional turut menjalin kerjasama dengan syarikat serta institusi antarabangsa terkemuka seperti Siemens Inc, Apple Inc, FESTO, dan Dassault Systemes. Jalinan kerjasama ini membawa kepada pembangunan modul kurikulum sepunya antara institusi dan industri, sekaligus mengukuhkan hubungan dua hala antara pengelola akademik dan pihak industri.
Tambahan lagi, silibus SKM yang ditawarkan oleh institusi di bawah Kerajaan Negeri Selangor direka mengikut garis panduan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Pendekatan ini adalah bagi memastikan modul-modul latihan di STDC memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan kecekapan yang ditetapkan selari dengan tuntutan semasa industri.
Selain daripada itu, pelaksanaan latihan intensif bagi tenaga pengajar, program perantisan, penggunaan teknologi terkini serta pemantauan kurikulum secara berterusan merupakan usaha tambahan untuk memastikan silibus TVET yang digunakan sentiasa relevan dengan tuntutan industri masa kini. Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen bersama STDC dan Kerajaan Negeri Selangor dalam mempromosikan pendidikan TVET yang berkualiti serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
-
Berapakah peratusan kadar kebolehpasaran graduan TVET di negeri Selangor dan apakah strategi Kerajaan Negeri dalam melaksanakan kerjasama strategik bersama pemain industri dalam memastikan kemenjadian graduan TVET di negeri Selangor ini?
Purata kadar keboleh pasaran graduan TVET Negeri Selangor adalah antara 80 – 90% setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa majoriti pelajar yang menamatkan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional mempunyai kadar keboleh pasaran yang tinggi dan berjaya memperoleh pekerjaan dalam industri berkaitan. Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan program TVET di Selangor dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri. Sementara itu, dalam bidang profesional, kadar keboleh pasaran graduan adalah dalam lingkungan 60% – 70%, dengan lepasan pelatih yang berjaya menempatkan diri dalam jawatan profesional dalam bidang TVET termasuk dalam sektor pengilangan termaju, Industri Revolusi 4.0, digital twin, dan lain-lain.
Selain daripada memastikan silibus TVET sentiasa selari dengan keperluan industri semasa, Kerajaan Negeri Selangor juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama pemain industri dalam memastikan kemenjadian graduan TVET Negeri Selangor seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas tamat pengajian. Antara syarikat yang bekerjasama memastikan penempatan pelatih setelah tamat belajar adalah Proton, Perodua, Sime Darby, Auto Bavaria, P10X, Yamaha, iMotorbike, Daikin, De Palma dan lain-lain.