Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

265) KELEWATAN PROJEK MITIGASI BANJIR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah punca kelewatan pelaksanaan projek mitigasi banjir yang mencatatkan perbezaan ketara antara kemajuan jangkaan dan kemajuan sebenar setakat tahun 2024?

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat beberapa punca yang boleh mengakibatkan kelewatan pelaksanaan projek yang sedang berjalan di antaranya adalah isu pengalihan utiliti, isu struktur binaan haram dan halangan di tapak.

     

    Keperluan pengambilan tanah yang memerlukan proses perundangan dan pentadbiran yang kompleks. Ianya juga melibatkan rundingan dengan pemilik tanah serta penilaian pampasan. Dalam situasi demikian, proses perolehan tanah memberi implikasi kepada perancangan keseluruhan projek menyebabkan kerja-kerja pembinaan tidak dapat dijalankan sehingga isu tanah diselesaikan. Selain itu, isu keperluan pengalihan utiliti seperti paip air, kabel elektrik, dan telekomunikasi juga merupakan faktor kelewatan pelaksanaan projek. Kebiasaannya pengalihan utiliti akan mengambil tempoh masa yang lama kerana ia melibatkan penyelarasan dengan pelbagai agensi berkaitan. Setiap syarikat utiliti mempunyai prosedur tersendiri dalam pengalihan aset mereka dan kelulusan perlu diperoleh sebelum kerja-kerja dijalankan.

     

    Isu pengambilan dan penilaian tanah serta pengalihan utiliti bukan sahaja menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek mitigasi banjir, tetapi juga memberi kesan peningkatan kepada kos operasi keseluruhan projek yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

     

    Bagi mengatasi kelewatan pelaksanaan projek disebabkan oleh isu pengalihan utiliti, Kerajaan Negeri telah membuat perancangan untuk menggunakan perkhidmatan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dalam melaksanakan kerja pengalihan utiliti bagi projek di bawah Kerajaan Negeri sebelum kerja-kerja fizikal dilaksanakan oleh agensi pelaksana.

    Selain daripada isu-isu di atas, prestasi kontraktor di tapak juga menyebabkan kelewatan projek yang sedang berjalan tertangguh dan tidak dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

  2. Apakah langkah-langkah ratifikasi yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan projek ini tidak ditangguh lagi?

    Kerajaan Negeri komited dalam memastikan pemantauan bagi projek yang sedang berjalan tidak lagi mengalami kelewatan. Di antara langkah-langkah yang diambil adalah memastikan projek hanya boleh bermula selepas isu pengambilan tanah selesai, tempoh asal kontrak dipanjangkan dengan mengambil kira halangan yang bakal berlaku seperti contoh keperluan perobohan kawasan yang menceroboh rizab dan Right Of Way (ROW) projek. JPS juga akan melaksanakan Mesyuarat Pra Tender bersama perunding dalam memastikan setiap masalah yang dapat dijangka semasa projek dilaksanakan kelak telah diambil kira semasa penyediaan dokumen dan lukisan tender.

Lampiran

Tiada Lampiran.