Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
264) INISIATIF SOKONGAN PROGRAM I-SEED
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Selain tawaran dana bernilai RM10,000 kepada komuniti peniaga berbangsa India dalam Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED), apakah inisiatif sokongan lain yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan bimbingan sewajarnya dapat diberikan kepada peniaga-peniaga berskala kecil ini?
Untuk makluman Yang Berhormat Jeram antara inisiatif sokongan Kerajaan Negeri untuk memastikan penerima Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) mendapatkan bimbingan sewajarnya adalah dengan memberi peluang penyertaan di dalam program-progam Kerajaan Negeri di peringkat daerah dan negeri. Penerima juga digalakkan untuk menyertai komuniti perniagaan tempatan untuk jaringan sokongan yang dapat membantu menyediakan platform untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan nasihat, dan membina kerjasama.
Selain dari itu, melalui Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan telah diadakan Karnival Blueprint dan I-Seed pada tahun 2019 yang telah menjadi platform kepada penerima bantuan untuk mempamerkan, mempromosikan dan menjual produk atau perkhidmatan mereka kepada masyarakat umum. Selain dari itu membantu mereka mendapatkan lebih banyak pelanggan.
Sepanjang program Karnival Blueprint dan I-Seed ini juga telah dijalankan sesi latihan dan bengkel yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan, pemasaran, promosi dan kemahiran teknikal bagi meningkatkan pengetahuan dan kecekapan peserta. Karnival ini juga telah mewujudkan peluang untuk peserta berinteraksi dan membina jaringan dengan usahawan lain, pembekal, dan pelanggan, yang boleh membawa kepada kerjasama dan peluang perniagaan baru. Pameran-pameran yang diadakan sepanjang karnival ini berlangsung juga secara tidak langsung dapat memberikan maklumat mengenai sumber dan sokongan yang tersedia untuk usahawan, termasuk akses kepada pembiayaan, bimbingan, dan bantuan teknikal. Menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dengan membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka, yang seterusnya dapat mencipta peluang pekerjaan.
Karnival Blueprint dan I-Seed ini akan diadakan pada dan sekitar bulan Jun 2025 untuk terus menjadi platform dalam membantu semua penerima bantuan Blueprint dan I-Seed negeri Selangor. Antara pengisian yang dirancang bagi Karnival Blueprint dan Iseed 2025 ini adalah pameran dari pemberi bantuan usahawan makro dan mikro, pameran dan jualan oleh penerima bantuan iseed dan Blueprint, kursus keusahawanan, ceramah berkaitan promosi dan pemasaran serta peningkatan perniagaan, pendededahan berkaitan penggunaan Artificial Intelligent (AI) dalam perniagaan kecil dan sederhana serta taklimat dari pelbagai Jabatan, Agensi dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor.
Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan sentiasa menghargai dan memberi pengiktirafan kepada penerima bantuan Blueprint dan iSeed ini dengan memberikan anugerah ikon Blueprint dan Iseed yang berjaya dalam perniagaan bertitik tolak dari bantuan Blueprint dan iSeed dari Kerajaan Negeri Selangor. Terdapat ramai penerima bantuan yang telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka bertitik dari bantuan Blueprint dan iSeed ini. Penganjuran Karnival Blueprint dan iSeed bagi tahun 2025 ini diharap dapat membuka peluang kepada orang ramai mendapat ilmu pengetahuan berkaitan bantuan-bantuan pembasmian kemiskinan Negeri Selangor.