Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
262) KEKURANGAN KAPASITI INSTITUSI PENDIDIKAN RENDAH & MENENGAH
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif dan usaha sementara Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kekurangan kapasiti institusi pendidikan rendah dan menengah di sekitar Bandar Puncak Alam dan Bandar Seri Coalfields seperti sekolah kebangsaan, sekolah aliran khas dan sekolah agama?
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan isu kekurangan kapasiti institusi pendidikan rendah dan menengah di sekitar Bandar Puncak Alam dan Bandar Seri Coalfields. Dalam hal ini, JPN Selangor sentiasa komited dalam memastikan setiap sekolah mempunyai bilangan murid yang optimum bagi mewujudkan iklim persekolahan yang kondusif kepada semua murid dan guru.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa kini belum ada sekolah rendah dan menengah di Bandar Seri Coalfields, manakala di kawasan Bandar Puncak Alam, terdapat tiga buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah sedang beroperasi iaitu SK Puncak Alam, SK Puncak Alam 2, SK Puncak Alam 3, SMK Puncak Alam dan SMK Puncak Alam 3. Kesemua sekolah tersebut telah beroperasi dengan dua sesi dan melebihi kapasiti optimum.
Dalam tempoh RMKe-12 (Tahun 2021-2025) jua, tiada sebarang projek sekolah baharu yang dimohon di kawasan Bandar Seri Coalfields dan Puncak Alam kerana tiada satu pun tapak rizab sekolah yang telah berstatus tanah persekutuan di kedua-dua kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, satu projek pembinaan bangunan tambahan 12 bilik darjah, 2 bilik darjah prasekolah, 6 bilik darjah PPKI, dewan berserta bilik-bilik khas dengan kos sebanyak RM27 juta telah diluluskan dalam RMKe-12 RP4 (Tahun 2024) di SK Puncak Alam (3). Bangunan tambahan tersebut dijangka mampu memuatkan sebanyak 360 orang murid arus perdana, 50 orang murid prasekolah dan 42 orang murid PPKI kelak.
Terkini, bagi bajet RMKe-12 RP5 (Tahun 2025), pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima kelulusan pembinaan kabin/IBS modular daripada pihak Kementerian Kewangan bagi tiga buah sekolah yang terletak berhampiran dengan kawasan Puncak Alam. Tiga buah sekolah tersebut ialah SK Desa Aman (3BD), SMK Saujana Utama (3BD) dan SK Seri Pristana (8BD) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.96 juta. Pihak JPN Selangor berharap kabin/IBS yang dibina ini kelak dapat membantu menyuraikan kepadatan murid di sekolah-sekolah sedia ada di Puncak Alam.
Untuk makluman bersama jua, pembinaan kabin/IBS modular hanyalah merupakan pelaksanaan strategi jangka pendek. Sebagai strategi jangka panjang, pihak JPN Selangor telah mengangkat permohonan bagi pembinaan sekolah baharu SK Alam Suria (36BD) dan SMK Eco Grandeur (42BD) dalam permohonan bajet RMKe-13 RP1 (Tahun 2026). Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini kelak adalah tertakluk kepada pertimbangan kelulusan oleh pihak agensi pusat dan kedudukan kewangan kerajaan.