Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
217) KEBAJIKAN PENJAGA WARGA EMAS
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan dalam membantu penjaga-penjaga warga emas samada kepada penjaga individu mahupun institusi dalam mengisi maksud ekonomi penjagaan?
Kerajaan Negeri Selangor telah meluncurkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor pada tahun 2024 dengan visi Negeri Selangor sebagai Peneraju Ekonomi Penjagaan yang inklusif, mapan dan berdaya tahan serta visi bagi jangka masa panjang Negeri Selangor sebagai hab Ekonomi Penjagaan.
Untuk makluman Yang Berhormat, melalui pembangunan Dasar Ekonomi Penjagaan, dua (2) kategori penjaga iaitu penjaga formal dan penjaga tidak formal telah diperincikan iaitu:
- Penjaga tidak formal terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, sukarelawan, kumpulan sokongan dalam komuniti, badan bukan kerajaan, pertubuhan politik, dan agensi dan organisasi setempat. Ada di kalangan penjaga di dalam kategori ini yang tidak dibayar.
- Penjaga formal merujuk kepada penjaga di institusi, hospital, komuniti, penjagaan bergerak dan penjaga di rumah yang berbayar.
Antara teras strategik utama dalam merealisasikan visi jangka pendek dan panjang Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor adalah Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja. Justeru, Pelan Tindakan Dasar Ekonomi Penjagaan tahun 2024 – 2030 menetapkan objektif iaitu Memastikan Latihan di Pelbagai Bidang dan Peringkat Kemahiran Penjagaan Disediakan.
Melalui kerjasama dengan pelbagai institusi latihan dan organisasi kebajikan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program pendidikan dan latihan dalam bidang penjagaan warga emas. Kursus-kursus ini merangkumi teknik penjagaan asas, sokongan emosi dan psikologi serta kemahiran perubatan ringan. Dengan adanya latihan ini, penjaga dapat meningkatkan kecekapan mereka dalam menguruskan warga emas dengan lebih baik sekali gus meningkatkan taraf perkhidmatan penjagaan di negeri ini.
Kerajaan Negeri Selangor juga sedang melaksanakan Kajian Warga Emas bagi mengenal pasti keperluan sebenar warga emas di Selangor terutamanya dalam aspek kesihatan, sosial dan ekonomi. Hasil kajian ini akan membantu Kerajaan Negeri menetapkan dan menambah baik dasar, inisiatif dan peruntukan yang lebih holistik dan tuntas untuk jangka masa panjang, berasaskan keperluan populasi warga emas di negeri ini.