Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

203) KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa peratuskah perancangan yang telah selesai dalam Program Pemutihan Tanah Kampung Tradisi (PPTKTNS) yang dijangka dilancarkan seawal tahun 2026?

    Kerajaan Negeri Selangor komited dalam melaksanakan Program Pemutihan Tanah Kampung Tradisi (PPTKTNS) bagi menyelesaikan isu pemilikan dan penggunaan tanah di kampung tradisi khususnya yang melibatkan penggunaan tanah pertanian untuk tujuan kediaman atau komersial tanpa kebenaran rasmi. Sehingga kini, perancangan program ini telah mencapai kemajuan yang signifikan, dengan beberapa insentif dan program seumpamanya telah dicadangkan untuk mengatasi masalah pemilik tanah berpendapatan rendah antaranya:

    1. Mengadakan program kesedaran dan bengkel untuk meningkatkan kesedaran pemilik tanah berkenaan kepentingan pemutihan tanah.

     

    1. Sesi Libat Urus dengan pemilik tanah untuk memahami cabaran yang dihadapi dalam menyediakan garis panduan dalam proses pemutihan.

     

    1. Mengadakan kerjasama rapat dengan PBT untuk menyelaraskan proses permohonan dalam memastikan kelulusan dapat diberikan dalam tempoh yang munasabah.

     

    1. Menyediakan insentif kewangan dan kemudahan proses kerja seperti pengurangan premium tambahan bagi permohonan penukaran syarat nyata tanah dan pelonggaran syarat-syarat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) berdasarkan bangunan sedia ada di atas tanah kampung tradisi.

     

    Bagi prestasi PPTKTNS, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor akan memberikan laporan yang lebih terperinci secara bertulis.

  2. Sila lampirkan butiran program yang telah dirancang dan nyatakan sesi libat urus yang telah dilaksanakan untuk menjayakan PPTKTNS.

    Bagi sesi libat urus yang telah dijalankan, maklumat terperinci akan diberikan secara berasingan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor secara bertulis. Walau bagaimanapun, pelaksanaan PPTKTNS ini merangkumi beberapa komponen utama, antaranya:

     

    1. Pendaftaran dan Pengesahan Pemilik Tanah: Mengenal pasti pemilik asal serta pewaris bagi memastikan pemilikan tanah yang sah dan terkini.

     

    1. Kajian Status Tanah dan Pelan Kawasan: Pemetaan semula kawasan kampung tradisi untuk menentukan status guna tanah serta kesesuaian bagi pembangunan yang dirancang.

     

    1. Pemantapan Dasar dan Garis Panduan: Penyediaan garis panduan baharu berkaitan pemutihan tanah, termasuk aspek pemilikan, pembangunan, dan keperluan infrastruktur bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung tradisi.

     

    1. Penyelesaian Isu Tanah dan Pemilikan Bersama: Menangani isu tanah yang melibatkan pemilikan bersama dan pewarisan berlapis yang sering menjadi halangan dalam usaha pemutihan.

     

    1. Pemberian Hak Milik Tanah yang Sah: Memastikan penduduk kampung tradisi memperoleh hak milik yang sah dan dapat menikmati manfaat penuh sebagai pemilik berdaftar.
  3. Apakah antara perlanggaran syarat tanah yang selalu dilakukan oleh pemilik-pemilik tanah?

    Antara pelanggaran syarat tanah yang sering dilakukan oleh pemilik tanah di kampung tradisi termasuk:

    1. Penggunaan Tanah Pertanian Bagi Tujuan Kediaman atau Komersial: Ramai pemilik tanah menggunakan tanah yang dikategorikan sebagai pertanian untuk membina rumah kediaman atau premis perniagaan tanpa menukar syarat kegunaan tanah terlebih dahulu.

     

    1. Pembinaan Struktur Tanpa Kebenaran: Pembinaan bangunan struktur tambahan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

     

    1. Penyewaan Tanah Kepada Pihak Ketiga Yang Tidak Selaras Dengan Syarat Kegunaan Tanah: Menyewakan tanah kepada pihak ketiga untuk tujuan pertanian atau perniagaan tanpa kelulusan rasmi.

     

    1. Pindah Milik Tanah Tidak Teratur: Proses jual beli tanah dilakukan tanpa mematuhi prosedur rasmi yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah.

     

    1. Pencerobohan Tanah Kerajaan atau Rizab Awam: Memperluaskan kawasan milik ke atas tanah rizab atau milik kerajaan tanpa kebenaran.

     

    Kerajaan Negeri menekankan kepentingan pematuhan kepada syarat-syarat tanah yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang boleh dikenakan kepada pemilik tanah. Pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggaran syarat nyata tanah berdasarkan peruntukan Seksyen 127 dan 128 Kanun Tanah Negara 1965. Tindakan ini termasuk penyiasatan pelanggaran, pengeluaran surat peringatan, dan notis kepada individu terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.