Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

197) PERUBAHAN IKLIM DALAM INDUSTRI PERTANIAN

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah merangka apa-apa pelan mitigasi bagi memastikan sumber air mencukupi untuk tujuan pertanian bagi membantu petani menghadapi kesan perubahan iklim, terutamanya kesan kemarau panjang ?

    Bagi aktiviti pertanian, antara lokasi yang menggunapakai sumber air dengan kuantiti yang besar adalah aktiviti melibatkan sawah padi di kawasan Sabak Bernam melalui Lembangan Sungai Bernam. Kawasan ini telah mempunyai perancangan yang teliti berkaitan pembekalan sumber air seperti pembinaan Kolam Takungan Parit 4 Sungai Haji Dorani yang mempunyai sumber takungan air khas untuk tujuan pengairan pertanian.

     

    Di pihak Kerajaan Negeri melalui LUAS dan JPS Selangor juga sentiasa memastikan aliran Sungai Bernam berada dalam keadaan baik dan mencukupi agar produktiviti aktiviti pertanian tidak terjejas. Bagi kawasan dan pengusaha yang lain di seluruh Selangor, kawalan abstraksi air telah dilaksanakan melalui kaedah pelesenan. Usaha ini secara tak langsung memberi data dan maklumat berkenaan jumlah keperluan sumber air bagi menyokong industri pertanian dan sekiranya berlaku kemarau, data ini akan membantu pihak Kerajaan Negeri melalui inisiatif penyaliran sumber air alternatif seperti dari kawasan takungan bekas lombong dan juga tasik yang telah dikenal pasti mempunyai simpanan sebanyak 167 Juta meter padu (MCM) dengan ketahanan selama 3 bulan yang boleh membantu aktiviti pertanian sekiranya mengalami krisis musim kering.

  2. Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan kesediaan petani kecil yang bergantung kepada hasil tani mereka sebagai sumber pendapatan utama dalam menghadapi risiko perubahan cuaca ekstrem?

    Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan kaedah moden Smart Farming menggunakan konsep hidroponik berasaskan pertanian pintar IOT (Internet Of Thing) seperti sistem penanaman di dalam bangunan (Plant Factory), struktur pelindungan hujan (SPH) dan vertical farming bagi mempastikan sektor pertanian mempunyai daya tahan dalam menghadapi perubahan iklim.

    Beberapa usaha telah dibangunkan untuk pengeluaran varieti padi yang tahan cuaca. Antaranya varieti padi Tadahan Hujan @ Luar Jelapang seperti  MR326 dan MR331 keluaran MARDI yang telah diisytihar pada bulan November 2024. Badan penyelidik lain seperti UPM, UKM dan Agensi Nuklear Malaysia juga telah mengeluarkan varieti padi yang tahan kepada perubahan cuaca seperti Padi Putra CR (Climate Ready) untuk rintang kemarau dan berhasil tinggi, NMR 151 dan NMR152 (IS21), UKM RC 2 dan UKM RC 8 yang masing-masing mempunyai ciri-ciri kesesuaian kepada perubahan cuaca.

Lampiran

Tiada Lampiran.