Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

191) SALAH SATU DARIPADA KOS OPERASI PIHAK KERAJAAN DAN INDIVIDU ADALAH KOS BEKALAN ELEKTRIK

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi kerajaan untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar di rumah dan bangunan awam di kawasan luar bandar?

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri kini sedang meletakkan fokus terhadap rancangan penjanaan tenaga, terutamanya penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor yang telah dilancarkan pada November 2024, telah menggariskan Tindakan Utama di bawah Teras Strategi Tenaga untuk meluaskan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga di premis awam serta melaksanakan kempen menggalakkan penggunaan tenaga hijau ini.

     

    Program galakan penggunaan tenaga solar di luar bandar adalah inisiatif penting untuk memastikan komuniti luar bandar mendapat akses kepada tenaga yang mampan, mesra alam, dan mampu milik. Antara strategi Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar di rumah dan bangunan awam terutamanya di kawasan luar bandar adalah seperti berikut:

     

    • Kerajaan Negeri telah mewujudkan dasar untuk menggalakkan pemasangan panel solar di bangunan milik Kerajaan Negeri, termasuk bangunan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Pemasangan solar ini akan diperluaskan ke bangunan-bangunan awam lain termasuklah ke kawasan luar bandar;

     

    • Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama dalam memberi maklumat kepada masyarakat luar bandar mengenai faedah tenaga solar melalui bengkel dan sesi libat urus;

     

    • Melaksanakan sesi perkongsian, taklimat dan sesi libat urus bersama komuniti. Contoh seperti penganjuran Hari Pelepasan Karbon Sifar 2024 oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang memberi fokus kepada kepentingan pengurangan emisi karbon, kitaran karbon dan biodiversiti;

     

    • Penyediaan Geran Kecil Alam Sekitar dan Geran Kecil Teknologi Hijau oleh Kerajaan Negeri untuk membantu komuniti mengakses pembiayaan bagi projek/program yang inovatif, meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan penggunaan produk teknologi hijau dalam kehidupan harian;

     

    • Bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) bagi mempromosikan insentif-insentif solar yang boleh dimanfaat oleh komuniti seperti Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) dan Program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM).

Lampiran

Tiada Lampiran.