Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
158) MASALAH PEMBINAAN PENCAWANG / PEMANCAR TELEKOMUNIKASI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Jelaskan secara terperinci prosedur permohonan atau kelulusan permohonan pemasangan pemancar tersebut.
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Negeri Selangor 2019 yang telah diluluskan pemakaiannya oleh MMKN ke 1/2020 pada 8 Januari 2020 dan masih berkuatkuasa sehingga hari ini.
Garis panduan ini menggariskan tatacara permohonan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah, Permit Sementara dan permohonan Pajakan/Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi pembinaan menara dan struktur pemancar komunikasi sama ada yang dibina di atas tanah, di atas bangunan/binaan serta Pembaharuan Kebenaran Merancang dan Permit Sementara Bangunan. Peruntukan undang-undang dan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:
- Permohonan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah dan Permit Sementara Bangunan
Pihak One Stop Agency (OSA) dan PBT dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan proses rundingan (engagement) bersama penduduk melalui notis pemberitahuan dalam tempoh 14 hari selepas menerima permohonan pembinaan menara pemancar komunikasi daripada OSA. PBT akan mengadakan Mesyuarat Pendengaran Bantahan Penduduk dalam tempoh 21 hari selepas notis pemberitahuan tamat sekiranya menerima bantahan. Taklimat/sesi mendengar bantahan hanya dibuat bagi aduan berkaitan isu teknikal, pematuhan jarak dan isu keselamatan.
Peringkat ini hanya melibatkan permohonan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah bagi kategori menara pemancar komunikasi satu (1) fungsi seperti monopole, monopole tree, menara kekisi berkaki tiga (three-legged lattice tower), menara kekisi berkaki empat (four legged lattice tower), mast dan sebagainya di atas tanah rizab kerajaan/tanah milik sahaja.
Seterusnya, OSA perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah ke Unit Pusat Setempat (OSC) di PBT dan permohonan Permit Sementara Bangunan ke Jabatan Bangunan PBT. Walau bagaimanapun, kelulusan permit sementara bangunan hanya boleh dikeluarkan setelah kelulusan kebenaran merancang C(1) diberikan.
Lain-lain kategori struktur pemancar seperti multi-fungsi, mudah alih, atas bangunan, atas binaan dan bergerak boleh dikemukakan terus ke Jabatan Bangunan PBT untuk permohonan Permit Sementara Bangunan tanpa permohonan kebenaran merancang.
- Permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Atau Pajakan Di Atas Tanah Rizab Kerajaan
OSA perlu mengemukakan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di bawah seksyen 65 Kanun Tanah Negara (KTN) secara serentak dengan permohonan kebenaran merancang perubahan material penggunaan tanah dan permit sementara bangunan.
Bagi permohonan pajakan di bawah seksyen 63 KTN, OSA perlu mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS)/Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) selepas memperolehi kelulusan kebenaran merancang C(1) dan Permit Sementara Bangunan daripada PBT.
Garis panduan permohonan LPS atau pajakan adalah tertakluk kepada Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 2 Tahun 2021 (Garis Panduan Permohonan Mendapatkan Kelulusan Tapak Bagi Tujuan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Atas Tanah Rizab Kerajaan, Negeri Selangor).
- Pembaharuan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah dan Permit Sementara Bangunan
Pembaharuan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah dan Permit Sementara Bangunan adalah secara tahunan dan ianya akan berakhir pada bulan Disember setiap tahun.
Bagi pendirian struktur menara di atas tanah hakmilik berkategori pertanian, Permit Khas Penggunaan Sementara Tanah Pertanian perlu dimohon di bawah perenggan 115(4)(f) dan (g) KTN kepada PDT. Pelaksanaan permit khas adalah tertakluk kepada Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 4 Tahun 2020 (Permit Khas Kebenaran Penggunaan Sementara Tanah Pertanian Yang Digunakan Selain Tujuan Pertanian (Perniagaan / Industri Ringan) Di Negeri Selangor).
-
Nyatakan agensi yang terlibat secara langsung.
Agensi yang terlibat secara langsung dalam pemberian maklum balas permohonan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Tanah, Permit Sementara Bangunan, Pajakan / Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan Permit Khas Penggunaan Sementara Tanah Pertanian adalah seperti berikut:
- Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS);
- Pejabat Daerah dan Tanah (PDT);
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) (hanya melibatkan PBT yang mempunyai lapangan terbang di dalam kawasan pentadbirannya).
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM);
- Tenaga Nasional Berhad TNB;
- Jabatan Kerja Raya; dan
- Lain-lain Jabatan atau Agensi mengikut keperluan.