Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
141) KEMUDAHAN DIGITAL DAN INFRASTRUKTUR TELEKOMUNIKASI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan infrastruktur digital dan akses internet berkelajuan tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir?
Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperluas liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan internet di negeri Selangor khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) beberapa inisiatif telah dilaksanakan di Selangor yang meliputi beberapa projek iaitu pembinaan menara baharu, naik taraf stesen pemancar dan menyediakan rangkaian gentian optik di premis-premis seperti berikut (sehingga 31 Disember 2024):
Inisiatif Negeri / DUN Tapak Menara Baharu Naik Taraf Stesen Pemancar Premis Tersedia Gentian Optik Perancangan Siap Perancangan Siap Perancangan Siap Selangor 566 563 9,878 9,878 863,247 850,957 Teratai 10 10 128 128 21,056 21,056 Bagi memastikan perkhidmatan ini mematuhi kualiti yang ditetapkan, pihak MCMC juga akan melaksanakan audit kualiti liputan di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk di kawasan-kawasan pelancongan di Negeri Selangor seperti di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Smartsel Sdn Bhd (SMARTSEL), sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Infrastruktur Digital, sedang membangunkan pelan infrastruktur digital baharu untuk mengkaji keperluan infrastruktur di Selangor, terutama di kawasan luar bandar. Pelan ini bertujuan untuk mengatasi isu blind spots dan memastikan lebih banyak kawasan menikmati sambungan internet yang stabil dan berkualiti.
SMARTSEL turut terlibat dalam menaik taraf Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di kawasan luar bandar dengan menyediakan perkhidmatan Direct Internet Access berkelajuan 100Mbps dengan khidmat sokongan yang dijamin. Setakat ini, 15 perpustakaan telah dinaik taraf dengan internet fiber untuk memudahkan capaian internet yang lebih baik kepada masyarakat.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor telah melaksanakan inisiatif Pusat Smart Desa di kawasan luar bandar seperti Balai Raya Kampung Sri Taman Baru, Ampang. Pusat-pusat ini dilengkapi dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 800Mbps yang disediakan oleh SMARTSEL dan kemudahan digital untuk menyokong aktiviti sosial, ekonomi, dan pendidikan komuniti setempat.
-
Apakah cabaran dan kekangan yang dihadapi kerajaan negeri dalam usaha kerja-kerja tersebut bagi memastikan liputan kemudahan internet dapat diperluaskan?
Berdasarkan maklumat dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 1,809 tapak telah beroperasi dengan 29 tapak lagi masih di dalam pelaksanaan di negeri Selangor. Dengan status ini, kadar liputan 5G ini telah mencapai 96.9% liputan bagi kawasan berpenduduk di negeri Selangor melepasi sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Namun begitu, di dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi, terdapat beberapa isu dan cabaran yang dihadapi. Antaranya adalah berkaitan dengan kelulusan perolehan tapak menara serta permohonan permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan yang mengambil tempoh masa yang panjang.
Selain daripada itu, isu penanaman fiber optik bagi membolehkan penyediaan rangkaian internet yang lebih stabil dan berkelajuan tinggi juga menjadi isu yang dibangkitkan oleh pemain industri khususnya kos pelaburan yang tinggi.
Pada masa yang sama, terdapat juga bantahan awam kepada pembinaan struktur komunikasi di kawasan-kawasan tertentu yang memerlukan peningkatan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, isu cabaran ini telah diberi pertimbangan dan sedang dalam penelitian Kerajaan Negeri melalui semakan semula Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi di Negeri Selangor 2019 di mana beberapa maklumat baharu akan dimasukkan bagi menangani isu dan cabaran yang telah dikenalpasti. Maklumat baharu ini termasuk input daripada Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) Tahun 2022 yang dikeluarkan oleh MCMC.