Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

140) AKSES KEPADA BEKALAN AIR BERSIH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana kerajaan negeri memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang terhadap masalah gangguan bekalan air, termasuk melalui pembinaan infrastruktur loji rawatan air baharu?

    Kerajaan Negeri melalui Air Selangor telah merancang pembinaan infrastruktur loji rawatan air baharu bagi memastikan peningkatan rizab margin bekalan air sentiasa melebihi 15%. Berikut adalah senarai empat (4) loji-loji baharu yang sedang dan akan dibina bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air pengguna:

     

    Loji Baharu Kapasiti Jangkaan Siap
    LRA Rasau Peringkat 1 350 JLH

    700 JLH

    2026

    2027

    LRA Rasau Peringkat 2 700 JLH 2028
    LRA Labohan Dagang Fasa 2 200 JLH 2029
    LRA Langat 2 Fasa 2 1130 JLH 2030

     

    Air Selangor juga melalui perancangan Pelan Perniagaan 30 tahun sedang giat melaksanakan kerja-kerja penggantian paip, menaik taraf aset seperti rumah pam dan tangki serta paip agihan dan retikulasi air, menaik taraf loji rawatan air, meningkatkan kapasiti simpanan air dengan membina tangki dan kolam air baharu serta merangka pelan kesalinghubungan sistem bekalan air (atau Water Grid Interconnectivity).

  2. Apakah sumber air pada masa kini mencukupi untuk menghadapi keperluan dan penggunaan air yang makin bertambah?

    Sumber air pada masa kini masih mencukupi untuk memenuhi pertambahan permintaan dan peningkatan keperluan air bagi pengguna semasa serta keperluan pembangunan akan datang bagi pengguna domestik, industri dan komersial termasuklah pusat data.

    Selain itu, bagi memastikan bekalan air yang mampan, Air Selangor telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mendidik para pengguna tentang pemuliharaan air dengan:

    • bekerjasama dengan Monsta Studios Sdn Bhd (Monsta) sejak 2021 dalam penerbitan episod animasi popular, BoBoiBoy yang dapat meningkatkan kesedaran kelestarian air dalam kalangan generasi muda.
    • menjalankan berkolaborasi dengan Sekolah Sri Bestari (Bandar Sri Damansara) dalam program kesedaran penjimatan air yang melibatkan pelajar menerusi pendekatan ‘peer-to-peer’ (rakan setara) pada
    • bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) dalam penghasilan Buku Panduan Air untuk berkongsi tip dan info tentang air, yang dapat memupuk penggunaan air lestari dalam kalangan pengguna.
    • melaksanakan pelbagai inisiatif lain termasuklah pemberian bidal air percuma, projek perintis alat penjimatan air, serta penyediaan akses data penggunaan air yang lebih terperinci menerusi aplikasi Air Selangor.
    • meningkatkan kesedaran, Air Selangor juga menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan ADUN, agensi kerajaan, NGO, sekolah, dan pertubuhan keagamaan, selain bekerjasama dengan ‘influencer’ media dan personaliti terkenal.
    • Mengajak orang ramai untuk menyokong sasaran penggunaan air sebanyak 160 liter per kapita sehari (LCD) menjelang 2030 seperti yang disyorkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
    • menyokong dan mempergiat usaha Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam mempromosikan Pili Cekap Air, dengan pelancaran program yang menggantikan pili wuduk di lapan masjid sekitar Selangor kepada pili cekap air.
    • Memasang sistem penuaian air hujan di pejabat-pejabat wilayah Air Selangor bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan air terawat untuk tujuan yang tidak boleh diminum seperti menyiram tumbuhan, landskap dan kerja-kerja pembersihan di samping dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan air melalui kepimpinan melalui teladan.
  3. Apakah langkah kerajaan negeri untuk mencari sumber air bersih sebagai tambahan unutk memastikan ia mencukupi terhadap peningkatan populasi di Negeri Selangor?

    Kerajaan Selangor menerusi Air Selangor sudah mengenal pasti sumber air mentah baharu yang boleh dibangunkan sebagai sumber bekalan air bagi menampung permintaan terhadap peningkatan populasi di Negeri Selangor, antaranya adalah;

    • Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 dengan kapasiti 700 juta liter air sehari (JLH) yang dijangka siap pada 2027.
    • Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 2 dengan kapasiti 700 JLH yang dijangka siap pada 2028.
    • Skim Bekalan Air Langat 2 Fasa 2 dengan kapasiti 1,130 JLH yang dijangka siap pada 2030.
    • Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 2 dengan kapasiti 300 JLH yang dijangka siap pada 2029.

    Dengan penambahan projek-projek tersebut, ia bakal menjadikan jumlah keupayaan pengeluaran air mengikut reka bentuk loji rawatan air (LRA) meningkat kepada 8,767 JLH pada 2030, berbanding kapasiti pengeluaran semasa sebanyak 6,035 JLH. Di samping itu, margin simpanan air keseluruhan untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga mencatatkan margin simpanan air pada 18.60% pada 2024 dan menyasarkan peningkatan margin simpanan air kepada sekitar 20% menjelang 2030.

Lampiran

Tiada Lampiran.