Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
139) PEMILIKAN TANAH DAN SKIM PERUMAHAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan negeri untuk mempermudah proses pemilikan tanah dan memperluaskan skim perumahan khusus, seperti Rumah Selangorku, kepada lebih ramai rakyat Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap permintaan rakyat Selangor berkaitan perumahan mampu milik. Kerajaan Negeri juga senantiasa mengkaji dan menambah baik dasar-dasar serta polisi sedia ada dari semasa ke semasa agar ianya sentiasa relevan untuk dilaksanakan. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dua (2) program perumahan mampu milik, iaitu program pemilikan di bawah Rumah Selangorku dan program penyewaan di bawah Skim Smart Sewa.
Di bawah program pemilikan Rumah Selangorku, rakyat Selangor boleh memilih dan membeli projek-projek Rumah Selangorku yang dibina oleh pihak kerajaan atau pun pemaju swasta melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperluaskan program pemilikan Rumah Selangorku ini dengan memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI Negeri Selangor yang telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 31/2024 bertarikh 30 Oktober 2024 yang mana akan memberikan lebih pilihan kepada rakyat Selangor untuk memiliki rumah idaman mereka sendiri. Rumah ini dilengkapi dengan perabot lekapan pasang siap dan kelengkapan barangan seperti TV serta kabinet TV, peti sejuk, kabinet dapur, almari, penghawa dingin dan pemanas air elektonik. Di bawah program penyewaan pula, Skim Smart Sewa diperkenalkan bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran.
Penyewa akan mendapat pulangan semula 30% daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30% wang sewaan bersih kepada pemohon, wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang.