Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
120) SOLUSI BERASASKAN ALAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan Negeri merancang untuk mengimplementasikan solusi berasaskan alam seperti kawasan paya dan permukaan pervious dalam pengurusan air hujan?
Kerajaan Negeri Selangor komited untuk melaksanakan langkah-langkah adaptasi secara solusi berasaskan alam atau Nature Based Solution (NBS) dalam menangani perubahan iklim dan bencana alam seperti banjir, hakisan tanah dan lain-lain. Pendekatan yang mengadaptasi NBS ini membawa banyak kelebihan, terutamanya dalam menangani isu perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, dan kesejahteraan manusia.
Kerajaan Negeri telah melaksanakan NBS terutamanya di kawasan paya gambut dengan pelaksanaan projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) yang bertujuan untuk menguruskan tanah gambut di Negeri Selangor secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelakkan degradasi dan berlakunya insiden kebakaran melalui pendekatan secara holistik dengan meningkatkan koordinasi antara agensi dan penglibatan masyarakat setempat.
Selain itu, bagi pengurusan air hujan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif mempergiatkan usaha menerapkan kepentingan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) terutamanya bagi projek pembangunan baharu seperti rumah sesebuah, rumah berkembar, dan bangunan berasingan dengan kawasan berbumbung melebihi 100 meter persegi. Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri ke arah pembangunan hijau serta pelancaran Green Building Index (GBI), SPAH telah dikenalpasti sebagai inisiatif hijau untuk menggalakkan penggunaan air secara efisien (water efficiency).
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau juga telah melaksanakan Geran Kecil Alam Sekitar yang menyediakan insentif khusus untuk Projek SPAH kepada komuniti di Negeri Selangor. Sehingga bulan November 2024, jumlah SPAH yang telah dipasang adalah sebanyak 8,735 buah termasuk rumah, stadium, pasar awam dan dewan komuniti. Terdapat beberapa premis Kerajaan yang menggunakan SPAH seperti Dewan Jubli, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pusat Biomass MPSJ, Bandar Bukit Puchong, Bangunan Ibu Pejabat MBPJ, Masjid Bukit Indah Ampang, Kompleks Majlis Perbandaran Sepang dan Dewan Orang Ramai Taman Putra Prima Sepang.
-
Adakah kerajaan Negeri telah mempertimbangkan penggunaan infrastruktur hijau untuk meningkatkan biodiversiti dan mengurangkan risiko banjir di kawasan bandar?
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mempergiatkan usaha untuk membangunkan infrastruktur hijau yang merangkumi elemen seperti penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (TBB) seperti solar dan tenaga hidro serta bangunan hijau yang menggunakan teknologi cekap tenaga dan bahan mesra alam yang membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon. Antara inisiatif Kerajaan Negeri dan PBT dalam membangunkan aspek ini adalah seperti berikut:
- Menerapkan pembangunan lanskap dan kehijauan bandar dengan menumpukan kepada aktiviti galakan penanaman pokok di setiap rumah dan mempelbagaikan landskap bandar
di bangunan-bangunan, laluan pejalan kaki dan kawasan yang tidak digunakan. Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam perancangan membangunkan ruang poket atau pocket park serta laluan transit sebagai penghubung kawasan lapang dan hijau melalui program Jaringan Hijau di bawah Pelan Induk Landskap Shah Alam 2035; - Meningkatkan peratusan kawasan hijau dalam bandar melalui penyediaan pokok-pokok teduhan dan landskap bandar bagi mengurangkan suhu persekitaran;
- Melaksanakan pendekatan dengan mengaplikasikan Nature-based Solution (NBS) seperti penghijauan bumbung dan dinding bangunan serta penanaman pokok di sepanjang jalan raya. Langkah ini dapat mengurangkan kesan pulau haba bandar, meningkatkan kualiti udara dan menyediakan habitat tambahan untuk spesies tempatan.
Dalam konteks pengurusan risiko banjir, Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor turut menggariskan teras strategik yang berkaitan termasuk memberi tumpuan kepada pengurusan sumber air, memastikan pembangunan infrastruktur yang mengambil kira aspek mitigasi banjir dan daya tahan terhadap perubahan iklim, pemuliharaan hutan dan ekosistem semula jadi yang berfungsi sebagai penampan semula jadi terhadap banjir. Berikut adalah beberapa contoh infrastruktur hijau yang boleh digunakan untuk mengurangkan risiko banjir:
- Bumbung Hijau di mana struktur bumbung yang dilitupi tumbuhan untuk menyerap air hujan dan membantu mengurangkan kesan pulau haba bandar (urban heat island) dan aliran air ke sistem perparitan. Contoh seperti bangunan Ken Rimba, Shah Alam antara perbandaran hijau pertama di Malaysia yang mempunyai banyak kawasan hijau di sekitarnya di samping penggunaan cat yang memantul haba dan reka bentuk pengalihan udara cross ventilationbagi mengekalkan suhu nyaman di dalam bangunan;
- Kolam Takungan Banjir (Retention and Detention Ponds) yang direka untuk menampung lebihan air semasa hujan lebat dan melepaskannya secara perlahan ke dalam sungai atau sistem saliran.
- Menerapkan pembangunan lanskap dan kehijauan bandar dengan menumpukan kepada aktiviti galakan penanaman pokok di setiap rumah dan mempelbagaikan landskap bandar
-
Bagaimanakah kerajaan Negeri memastikan penyelesaian berasaskan alam ini dapat diintegrasikan dengan pembangunan bandar yang mampan?
Kerajaan Negeri akan memastikan penyelesaian berasaskan alam Nature-Based Solutions (NBS) diintegrasikan dengan pembangunan bandar mampan melalui beberapa strategi utama seperti berikut:
- Menyelaraskan perancangan dan dasar Kerajaan Negeri yang mengutamakan NBS dalam reka bentuk bandar dan elemen khas di bawah Rancangan Tempatan, PBT;
- Mempergiatkan pembangunan infrastruktur hijau bagi mewujudkan koridor-koridor hijau seperti taman dan hutan bandar serta laluan hijau di bandar;
- Mengekalkan dan memulihkan kawasan ekosistem penting seperti paya bakau, hutan paya gambut dan sungai yang bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap bencana alam;
- Mewajibkan penyediaan SPAH dan penggunaan semula air di kawasan pembangunan baharu dalam usaha mengurangkan risiko banjir;
- Melibatkan penyertaan komuniti, sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha konservasi dan inisiatif penghijauan bandar seperti program penanaman pokok dan kebun komuniti; dan
- Memperkasakan program pendidikan dan kesedaran mengenai NBS serta kepentingannya dalam pembangunan bandar mampan.