Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

118) PROJEK INFRASTRUKTUR HIJAU

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan projek infrastruktur hijau seperti taman menegak dan bumbung hijau di bangunan awam bagi meningkatkan kualiti udara dan estetika bandar?

    Kerajaan Negeri telah menunjukkan komitmen pembangunan infrastruktur hijau melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Salah satu langkah inovatif untuk meningkatkan kelestarian bandar adalah menerusi pelaksanaan projek taman menegak (vertical garden) dan menghijaukan bumbung bangunan.

     

    Langkah inovatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesan haba bandar (urban heat island effect), tetapi juga meningkatkan kualiti udara, menyediakan ruang hijau dan menyerap air hujan untuk mengurangkan risiko banjir. Antara PBT yang telah melaksanakan projek ini adalah seperti berikut:

     

    • Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menggariskan komponen infrastruktur hijau dalam Pelan Tindakan Strategik MBPJ 2021- 2025 dan Pelan Induk Landskap Petaling Jaya 2030. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    • Pengadaptasian Rangkaian Infrastruktur Hijau  dalam semua perancangan pembangunan bandar. Ini termasuk menggalakkan aplikasi sistem hijau seperti taman menegak (vertical landscape) dan bumbung hijau (green roofs) di bangunan-bangunan awam dan swasta.

     

    • MBPJ mewajibkan semua pemajuan pembangunan untuk mengambil kira penyediaan infrastruktur hijau semasa peringkat perancangan susun atur landskap. Pemaju juga digalakkan untuk melaksanakan elemen seperti taman menegak dan taman bumbung sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pembangunan mampan.

     

    • Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mempunyai infrastruktur hijau seperti taman menegak (vertical garden) dan menghijaukan bumbung bangunan di bangunan-bangunan awam di bawah pentadbiran MBSA. Pelaksanaan ini adalah mengguna pakai Garis Panduan Perancangan Kawasan Lapang PlanMalaysia yang mensyaratkan penyediaan 10% kawasan hijau atau lapang daripada jumlah pembangunan kawasan iaitu 5% di atas tanah dan 5% di atas podium/roof top.

     

    • Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menggariskan Pelan Tindakan Perbandaran Rendah Karbon Bandar Baru Bangi yang menekankan kepada pertumbuhan pesat pembangunan projek hijau dan rendah karbon. Ini termasuk penerapan konsep taman menegak dan bumbung hijau dalam pembangunan bandar untuk mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kualiti hidup penduduk
  2. Adakah kerajaan Negeri telah mempertimbangkan untuk menyediakan ruang komuniti melalui projek infrastruktur hijau ini sambil menyumbang kepada kelestarian alam sekitar?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif dalam menyediakan ruang komuniti melalui projek infrastruktur hijau untuk kelestarian alam sekitar. Usaha ini selaras dengan visi untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai Low Carbon City menjelang 2030, sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor. Antara contoh ruang komuniti yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah seperti berikut:

     

    • Memberi penekanan kepada penyediaan ruang komuniti yang berfungsi melalui Projek Infrastruktur Hijau. Sebagai contoh, penyediaan green space, bioswales dan permeable pavements tidak hanya menyumbang kepada pengurusan air hujan yang efektif, tetapi turut mewujudkan ruang rekreasi hijau untuk kegunaan awam seperti di Taman Kota@PJ di Jalan Persiaran Mahogani, Kota Damansara dan Taman Damai Setia@Taman Rakyat di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai.

     

    • Membangunkan kebun komuniti bandar yang sistematik, tersusun dan mampan di Negeri Selangor sejajar dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). PBT mewujudkan kawasan bagi kebun komuniti untuk diusahakan oleh penduduk setempat secara kebun bertingkat (vertical garden) dan di atas bumbung. Inisiatif ini bukan sahaja mencantikkan kawasan perumahan tetapi juga menyumbang kepada aktiviti ekonomi dan keterjaminan sumber bekalan makanan penduduk setempat. Sebagai contoh Program Kebun Komuniti Multi-Sensory Accessible Garden MBSJ-UiTM di USJ6 dan Kebun Komuniti Garden 8 dan Kebun Komuniti Geliga Nilam (KKGN), Majlis Perbandaran Selayang.

     

    • Selain itu, Garis Panduan Perancangan Kawasan Lapang yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) yang mensyaratkan penyediaan 10% kawasan hijau atau lapang daripada jumlah pembangunan kawasan iaitu 5%
      di atas tanah dan 5% di atas podium/roof top menjadi satu ketetapan polisi dalam meningkatkan ruang/kawasan hijau.

     

    • Penyediaan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau (GKAS dan GKTH) oleh Kerajaan Negeri yang memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta bagi pelaksanaan geran tersebut pada untuk tahun 2021/2022. Manakala pada tahun 2023/2024, peruntukan yang disediakan berjumlah RM600,000 bagi inisiatif alam sekitar, penggunaan produk teknologi hijau dan kebun komuniti bandar.

     

    • Pewujudan ruang komuniti telah disyaratkan dalam pembangunan bertingkat di Shah Alam. Di antara bangunan yang telah dilaksanakan adalah Wisma MBSA, Ibu Pejabat PKNS, Hotel Acapella, Hospital Avisena dan City Farm Tooflop Farm @ Central ICity Shah Alam.

     

    Dalam pelaksanaan inisiatif hijau di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT akan terus mempergiatkan usaha untuk mengintegrasikan pembangunan infrastruktur hijau menerusi penguatkuasaan dasar dan polisi bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat adalah terpelihara.

Lampiran

Tiada Lampiran.