Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
104) PEMBANGUNAN BELIA SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk belia di Selangor?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada belia di Selangor. Antaranya adalah seperti berikut:
Program Kemahiran Profesional di STDC Kampus Shah Alam telah menjalankan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes; Program ini khusus dibangunkan bagi merapatkan jurang kemahiran yang dimiliki oleh graduan selepas tamat belajar dan keperluan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Kerjasama ini menjurus kepada pemindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini berdasarkan keperluan pasaran di industri utama di dalam dan luar negara yang akan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan. Syarikat-syarikat ini juga memberi peluang pekerjaan di syarikat mereka di dalam dan luar negara selain memberi bantuan penempatan pekerjaan di bidang industri berkaitan setelah tamat pengajian;
STDC Kampus Kuala Selangor juga sedang giat melaksanakan kursus jangka pendek yang dipanggil ‘place and train’ dengan pihak industri yang menjamin penempatan pekerjaan selepas pelajar selesai menjalani kursus. Antaranya usahasama dengan syarikat-syarikat seperti Perodua, Volkswagen, Wrightbus Malaysia dan Aerodyne bagi program automotif, Daikin bagi program pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin serta Yamaha bagi penyelenggaraan motorsikal. Syarikat-syarikat ini juga akan menawarkan peluang pekerjaan bagi pelajar lepasan STDC dan sentiasa bekerjasama dalam memberikan pandangan terhadap keperluan tenaga kerja dalam industri terkini.
Yang terbaru, STDC telah menjalin kerjasama strategik dengan P10X Academy bagi program “Skill Talent Gateway”. Dalam program ini, STDC perlu membekalkan graduan Kursus Automotif kepada pihak P10X untuk digilap lebih lagi dalam bidang ‘automotive aesthetic’. Pelatih akan diberikan latihan selama lima (5) bulan. Sepanjang tempoh latihan, peserta akan diberikan kemudahan penginapan dan menerima elaun sebanyak RM500. Selepas tamat latihan, para pelatih akan dihantar terus ke industri dengan jaminan permulaan gaji minimum sebanyak RM1,800.00. Melalui inisiatif ini, kedua-dua institusi berusaha melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga benar-benar bersedia memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat dalam industri ‘automotive aesthetic’.
Selain daripada itu juga, terdapat program-program yang menawarkan peluang pekerjaan seperti Karnival Kerjaya Jelajah Jobcare yang diadakan di setiap daerah di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk menambah baik inisiatif sedia ada dengan memantapkan jaringan kerjasama antara penyedia latihan dan pihak industri seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas mereka tamat pengajian. Melalui kerjasama dan program-program ini juga diharap memudahkan graduan mengenalpasti dapat mengisi kekosongan jawatan di mana-mana sektor awam dan swasta yang diminati dan bersesuaian dengan kemahiran yang diperoleh.
-
Bagaimana kerajaan negeri menyokong institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri tempatan khusus untuk golongan belia Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk menyokong institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dalam usaha memenuhi keperluan industri tempatan terutamanya untuk golongan belia.
Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan kerjasama erat antara institusi TVET dan sektor industri melalui program latihan berasaskan industri dan perkongsian maklumat mengenai keperluan tenaga kerja semasa. Pelajar diberi peluang untuk memperoleh kemahiran praktikal yang selari dengan kehendak pasaran serta mendekatkan mereka kepada dunia pekerjaan sebenar. Antaranya usahasama dengan syarikat-syarikat seperti Perodua, Volkswagen, Wrightbus Malaysia, Aerodyne, Daikin dan Yamaha bagi IKTISASS Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Manakala, STDC Kampus Shah Alam yang menawarkan Program IKTISASS Profesional telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat dan institusi antarabangsa seperti Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes.
Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan infrastruktur dan fasiliti bantu mengajar di pusat-pusat pengajian dan pendidikan di bawah Kerajaan Negeri kondusif dan memenuhi keperluan pelajar dan kehendak industri terutama bagi pusat kecemerlangan TVET seperti di STDC Kampus Shah Alam dan Kuala Selangor. Setiap tahun, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2juta sehingga RM4juta bagi menaik taraf infrastruktur dan fasiliti dan antara RM5juta sehingga RM8juta bermula tahun 2018 bagi pembangunan modul pengajian demi memastikan ia relevan dengan dan bersesuaian dengan kehendak pasaran dan industri.
-
Adakah terdapat rancangan untuk menyediakan lebih banyak pusat rekreasi dan sukan untuk golongan muda?
Pada penggal yang lepas, Kerajaan Negeri telah mempunyai sejumlah 33 Dataran Anak Muda yang dinaiktaraf bagi tujuan rekreasi dan sukan. Secara dasarnya, pada penggal ini Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk membina baru bagi pusat aktiviti belia dan masyarakat. Namun begitu, melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah dilaksanakan kerja-kerja menaiktaraf kemudahan sukan dan aktiviti. Antara yang telah mengambil inisiatif ini adalah Majlis Perbandaran Kajang yang mempunyai perkara-perkara berikut;
- TAMAN BELIA, Kampung Sungai Kantan, Kajang.
Taman Belia ini berkonsepkan aktiviti luar (outdoor) dan di lengkapi dengan kemudahan papan selaju (skate board) yang juga antara fasiliti papan selaju yang terawal di Malaysia. Taman Belia ini juga di lengkapi dengan sebuah gelangang futsal, takraw dan badminton.
- MEDAN BELIA KAJANG Di Jalan Stadium, Kajang.
Medan Belia Kajang ini adalah medan selera yang baru sahaja dinaiktaraf pada tahun 2023 yang lalu. Medan Belia Kajang ini adalah hub bagi belia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti ruang jualan, kesenian, kebudayaan dan ruang bagi usahawan muda pada hujung minggu. Terdapat lebih 11 gerai makanan dan minuman yang sudah tentunya golongan belia adalah pemiliknya dan penyewanya. Waktu operasi Medan Belia Kajang ini adalah dari pukul 2.00 petang sehingga 11.30 malam.
- DATARAN KAJANG di Stadium Kajang
Dataran Kajang ini terletak di tengah Bandar Kajang dan dibuka setiap hari untuk semua orang awam menjalankan aktiviti kesihatan dan juga riadah yang pastinya dapat dimanfaatkan oleh golongan belia. Dataran Kajang ini juga dibuka kepada mana-mana Syarikat, Persatuan dan Kelab untuk sewaan bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti keusahawanan, pesta makanan, sukaneka, program kemasyarakatan dan lain-lain. Waktu operasi Dataran Kajang adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 12 malam.
- KAJANG DULU – DULU di Lorong Sulaiman, Bandar Kajang
Lorong Sulaiman ini terletak di tengah Bandar Kajang yang berhampiran dengan perhentian bas Bandar Kajang dan ini adalah lokasi tarikan terbaru yang disediakan oleh pihak Majlis. Kajang Dulu-Dulu @ Lorong Sulaiman ini dihiasi dan dipenuhi oleh lukisan Mural tokoh-tokoh sejarah yang berasal dari Kajang. Terdapat juga ruang Temu Seni untuk penggiat-penggiat kebudayaan dan kesenian untuk memperkenalkan hasil seni mereka. Fasiliti ini dibuka kepada orang awam tanpa mengira waktu memandangkan ianya adalah di kawasan awam terbuka. Bagi yang berminat untuk mengadakan aktiviti atau program untuk golongan belia, boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kajang.