Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

103) SKIM MESRA USIA EMAS (SMUE)

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah permohonan Skim Mesra Usia Emas / Skim Mesra Insan Istimewa Selangor akan dibuka semula tahun ini (2025)? Jika tiada, apa manfaat yang akan diganti atau diberikan kepada golongan warga emas yang tidak dapat SMUE?

    Bermula tahun 2025, Program Skim Mesra dilaksanakan secara berfasa iaitu berdasarkan bulan kelahiran ahli berdaftar sedia ada. Kaedah ini dilaksanakan bagi memastikan pengurusan program dan agihan baucar dapat dibuat dengan lebih teratur. Berikut adalah fasa yang digariskan bagi Program Baucar Skim Mesra:

     

    BIL. FASA TEMPOH TUNTUTAN
    1. Fasa 1: Ahli yang lahir pada bulan Januari hingga Mac Februari hingga Mac
    2. Fasa 2: Ahli yang lahir pada bulan April hingga Jun April hingga Jun
    3. Fasa 3: Ahli yang lahir pada bulan Julai hingga September Julai hingga September
    4. Fasa 4: Ahli yang lahir pada bulan Oktober hingga Disember Oktober hingga Disember

     

    Manakala bagi khairat kematian, Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Tahun 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan Khairat Darul Ehsan (KDE) yang akan bermula pada 1 Jun 2025, dan akan memberi manfaat kepada individu berusia 50 tahun ke atas serta OKU. KDE adalah satu usaha Kerajaan Negeri bagi menjajarkan empat (4) program yang menawarkan manfaat yang sama di bawah satu inisiatif iaitu Skim Mesra, Skim Insurans Am Selangor (INSAN), Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

    Kerajaan Negeri juga sedang melaksanakan Kajian Warga Emas yang bertujuan untuk memperkukuhkan kesejahteraan golongan ini dalam aspek sosial, ekonomi, kesihatan dan infrastruktur bagi memastikan pelaksanaan dasar yang lebih inklusif dan mampan selaras dengan peningkatan populasi warga emas di negeri ini.

  2. Nyatakan jumlah bayaran dan jumlah ahli yang menerima manfaat program ini sejak dilaksanakan dari tahun 2019.

    Jadual ahli berdaftar dan jumlah perbelanjaan skim mesra mengikut tahun:

    TAHUN AHLI TERIMA MANFAAT NILAI BAUCAR SKIM MESRA PERBELANJAAN (RM)
     

    2019

     

    35,488

     

    RM100.00

     

    RM3,548,800.00

     

    2020

     

    145,230

     

    RM100.00

     

    RM14,523,000.00

     

    2021

     

    180,278

     

    RM100.00

     

    RM18,027,800.00

     

    2022

     

    188,655

     

    RM100.00

     

    RM18,865,500.00

     

    2023

     

    246,256

     

    RM150.00

     

    RM36,938,400.00

     

    2024

     

    303,860

     

    RM150.00

     

    RM45,579,000.00

    Nota : Tahun 2024 (Tidak termasuk bulan November-Disember 2024)

  3. Adakah kerajaan negeri merancang untuk menaikkan jumlah pemberian manfaat dari RM150 ke RM200?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara melalui pelbagai inisiatif dan skim bantuan termasuk Skim Mesra. Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan nilai baucar Skim Mesra sedia ada. Walaubagaimanapun, kajian dan penilaian akan terus dilakukan bagi memastikan manfaat skim ini relevan dengan keperluan rakyat mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan Negeri, keberkesanan skim serta keperluan rakyat secara keseluruhan.

Lampiran

Tiada Lampiran.