Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

92) BANTUAN PELAJAR UNIVERSITI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program dan bantuan yang ditawarkan kepada pelajar universiti daripada latar belakang ekonomi berpendatan rendah?

    Antara bantuan pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar universiti yang datang daripada latar belakang ekonomi berpendapatan rendah adalah seperti berikut:

     

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan pembiayaan kepada pelajar Anak Selangor yang berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Program bantuan pendidikan yang dipanggil Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara ditawarkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA di seluruh negara dan IPTS yang diiktiraf di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) sebanyak RM1,000 kepada Anak Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah yang berjumlah RM5,000.00 sebulan dan ke bawah. Bantuan ini dibuka kepada Anak Selangor yang telah mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di IPTA dan IPTS yang diiktiraf di seluruh negara.

     

    Selain itu juga, Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) merupakan salah satu Inisiatif Peduli Rakyat Kerajaan Negeri Selangor yang menyediakan bantuan yuran asas sebanyak RM500 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40 dan M40 bagi setiap tahun pengajian. Bantuan ini diperuntukkan khas kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi milik Kerajaan Negeri Selangor iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).

  2. Bolehkah kerajaan Selangor mewujudkan dana khas untuk pemberian komputer riba percuma kepada pelajar - pelajar tersebut?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak Selangor. Sehingga kini, Kerajaan Negeri Selangor tiada peruntukan khusus bagi tajaan komputer riba kepada pelajar. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan inisiatif Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS) dengan menyediakan perkhidmatan pinjaman komputer riba dan desktop secara percuma kepada rakyat Selangor, khususnya golongan B40 yang memerlukan.

    Komputer riba yang disediakan melalui program ini memenuhi spesifikasi standard yang diperlukan bagi tujuan pembelajaran dan tugasan akademik. Tempoh pinjaman yang ditawarkan juga fleksibel dan boleh mencecah sehingga 180 hari dan boleh dilanjutkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Ia memberi kemudahan kepada peminjam untuk menggunakan peranti dalam tempoh yang lebih lama. Dengan adanya inisiatif ini, pelajar yang memerlukan dapat meneruskan pembelajaran dengan lebih lancar dan efisien tanpa menghadapi kekangan teknologi. Langkah ini juga mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong akses pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Lampiran

Tiada Lampiran.