Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

67) AGIHAN SEMULA MARRIS

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan duit MARRIS yang akan diterima setiap DUN untuk tahun 2025.

    Bagi tahun 2025, jumlah keseluruhan peruntukan MARRIS untuk diagihkan mengikut kawasan Dewan Negeri (DUN) adalah sebanyak RM175 juta dan setiap DUN akan menerima peruntukan di antara RM2 juta hingga RM5 juta berdasarkan kepada kelayakan panjang jalan DUN di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan perincian seperti di Lampiran A.

  2. Sila nyatakan asas dan formula agihan semula duit MARRIS.

    Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri merupakan ketetapan di bawah Peruntukan Perkara 109(1)(b), Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan membantu Kerajaan Negeri menyenggara jalan negeri di negeri masing-masing. Asas pemberian adalah dikira berdasarkan Peruntukan Bahagian 2 Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri disediakan di bawah Vot Tanggungan Kementerian Kewangan dan diagihkan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan panjang jalan negeri yang berdaftar dan telah diperakukan oleh JKR selaras dengan Peruntukan Bahagian 2 Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

    Di peringkat Kerajaan Negeri, pembahagian peruntukan MARRIS kepada Agensi Pelaksana (JKR, JPS, Pejabat Daerah dan Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan) adalah berdasarkan mekanisme seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan Malaysia dengan turut mengambil kira faktor-faktor berikut:

    (i)         Peruntukan sekurang-kurangnya 10% daripada peruntukan mengikut jumlah panjang jalan yang didaftarkan di dalam Sistem MARRIS Online dan telah disahkan oleh JKR seperti yang ditetapkan di dalam Pekeliling Perbendaharaan PB 3.6 perenggan 7;

    (ii)        peruntukan untuk membiayai komitmen sedia ada yang telah diluluskan pelaksanaannya oleh Pihak Berkuasa Negeri;

    (iii)       prestasi perbelanjaan agensi pada tahun sebelum; dan

    (iv)       perbelanjaan luar jangka yang memerlukan tindakan segera bagi mengatasi kesukaran pengguna jalan raya dan memelihara keselamatan awam.