Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
51) PEMBANGUNAN TEKNOLOGI 5G
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan terkini berkaitan kemajuan teknologi 5G di Selangor?
Pelaksanaan 5G di Malaysia telah dijalankan oleh syarikat yang dilantik oleh Kerajaan iaitu pihak Digital Nasional Berhad (DNB) sejak tahun 2021. Melalui DNB, Kerajaan telah menyasarkan untuk menyiapkan sebanyak 1,838 tapak di negeri Selangor yang merangkumi kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 1,809 tapak telah beroperasi dengan 29 tapak lagi masih di dalam pelaksanaan. Dengan status ini, kadar liputan 5G ini telah mencapai 96.9% liputan bagi kawasan berpenduduk di negeri Selangor melepasi sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Di samping itu, Smartsel Sdn Bhd (SMARTSEL), sedang mengembangkan pelan infrastruktur digital baharu bagi mengenal pasti keperluan pembangunan jalur lebar di kawasan luar bandar. Langkah ini bertujuan memastikan kawasan yang masih mempunyai blind spots dapat menikmati akses internet berkualiti tinggi melalui penyelesaian teknologi termasuk rangkaian 5G.
Insiatif IoT Enabled Industrial Park (“IEIP”) telah tersenarai sebagai inisiatif berpotensi tinggi di dalam Rancangan Selangor Pertama (“RS-1”) 2021-2025, di bawah Pembangunan Berfokuskan Sektor Ekonomi Digital.
Objektif IEIP ialah bagi memastikan pembangunan di kawasan-kawasan perindustrian di Selangor dilengkapi dengan insfrastruktur telekomunikasi dan kemudahan internet, selari dengan pewartaan kemudahan internet sebagai utiliti ketiga di Malaysia. Ianya amat penting bagi memudahkan aplikasi teknologi IR 4.0 dan 5G digunapakai dengan ketersediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan perindustrian. Justeru itu, ia bakal menarik pelaburan dari sektor perkilangan berteknologi tinggi di Negeri Selangor.
SMARTSEL Sdn Bhd sebagai pelaksana insiatif IEIP melalui Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (“MBI”) dan Invest Selangor akan bekerjasama dengan penyedia infrastruktur telekomunikasi dan perkhidmatan internet sedia ada bagi pembangunan kawasan perindustrian yang strategik.