Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

32) TANAH RUNTUH DUN RAWANG

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini berkenaan penyelesaian isu tanah runtuh di Rawang Perdana 5?

    Untuk makluman Yang Berhormat, merujuk kepada keputusan MMKN Selangor ke 15/2023  bertarikh 7 Jun 2023 kertas EXCO-MTES No.1/11/2023, pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan penyelesaian isu tanah runtuh di Jalan RP 5/4 Fasa 5 Taman Rawang Perdana tertakluk kepada syarat pemilik tanah bagi Lot 1258 hendaklah menyerahkan sebahagian tanah yang terlibat kepada Kerajaan Negeri (kerja pengukuran akan diselaraskan oleh Majlis Perbandaran Selayang).

    Susulan dari  keputusan tersebut, Pihak MPS telah melantik juruukur bagi mendapatkan ukuran sebenar Lot 1258. Namun begitu, pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak mendapati pelan Lot 1258 (20.4745 ha) terlibat dengan dua kali pengambilan tanah bagi projek Rawang Bypass sebelum ini. Bagi pengambilan pertama pelan akui (PA) telah dikeluarkan dengan baki keluasan 16.21 ha (PA208862). Manakala bagi pengambilan kedua seluas 8.5375 ha,  baki lot masih belum diukur oleh pihak JUPEM dan dalam tindakan pihak JKPTG Selangor. PDT Gombak juga telah mengeluarkan permohonan secara bertulis kepada JKPTG Selangor untuk bantu menyegerakan proses tersebut supaya langkah seterusnya dapat diambil.

    Pihak PDT Gombak akan memanggil semula pemilik Lot 1258 setelah PA bagi pengambilan kedua telah dikeluarkan dan tindakan selanjutnya dapat diteruskan bagi menyelesaikan perkara ini.

  2. Apakah status penyelesaian bagi pembaikan infrastruktur di kawasan isu mendapan tanah di Jalan Bersatu 20, Taman Bersatu?

    Untuk makluman Yang Berhormat, merujuk kepada keputusan MMKN Selangor ke 9/2023  bertarikh 31 Mac 2023 kertas EXCO-MTES No.3/5/2023, pihak Kerajaan Negeri telah menangguhkan permohonan peruntukan bagi pembaikan infrastruktur lorong belakang dan kerja-kerja lain berkaitan akibat mendapan tanah di Jalan Bersatu 20 Taman Bersatu untuk kajian forensik oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berhubung status keselamatan struktur kediaman kawasan tersebut.

    Selaras dengan keputusan tersebut, pihak MPS telah menerima Laporan Kajian oleh pihak JPS Daerah Gombak melalui Laporan Kumpulan IKRAM Sdn. Bhd. bertarikh November 2017 (No. Ruj.: Bil (50) dlm.JPS.G.1100/226) pada 11 Oktober 2023.

    Seterusnya, pihak MPS telah membentangkan anggaran kos (dikemaskini) baik pulih infrastruktur lorong belakang Jalan Bersatu 20 yang terjejas kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak dengan jumlah kos anggaran RM 524,639.00 (tidak termasuk kerja pembaikan kumbahan oleh pihak Syarikat Indah Water Konsortium). Kerja-kerja pembaikan lorong belakang ini akan dilaksanakan selepas pembaikan sistem kumbahan oleh Syarikat Indah Water Konsortium terlebih dahulu mengikut aturan kerja di tapak.

    Permohonan peruntukan ini sedang diperhalusi dan akan dibentangkan semula oleh PDT Gombak kepada Kerajaan Negeri bagi memperolehi peruntukan melaksanakan keseluruhan kerja pembaikan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.