Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
28) CUKAI TAKSIRAN YANG DIKENAKAN TERHADAP KAMPUNG TRADISI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila senaraikan bilangan akaun terkini yang dikenakan cukai taksiran dengan mengikut PBT dan nama kampung.
Senarai bilangan akaun terkini yang dikenakan cukai taksiran dengan mengikut PBT dan nama kampung adalah seperti di Lampiran A.
-
Apakah perkhidmatan yang diberikan oleh PBT terhdap kampung-kampung yang telah dikenakan cukai taksiran?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melaksanakan pelbagai perkhidmatan untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat. Antara perkhidmatan yang dijangka dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Penyelenggaraan dan Peningkatan Infrastruktur:
Ini merangkumi baik pulih dan naik taraf jalan raya, sistem saliran, longkang serta landskap kawasan kampung. Langkah ini bertujuan memastikan infrastruktur berada dalam keadaan baik dan selamat untuk kegunaan penduduk.
- Perkhidmatan Pembersihan dan Kesihatan Awam:
PBT menyediakan perkhidmatan seperti pungutan sampah, pembersihan jalan dan parit serta pemotongan rumput. Ini adalah penting untuk memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih dan sihat serta mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan tahap kebersihan kawasan persekitaran.
- Penyediaan dan Penyelenggaraan Kemudahan Awam:
PBT akan membina dan menyelenggara kemudahan awam seperti dewan, tandas awam, pasar, padang permainan kanak-kanak dan tempat rekreasi. Kemudahan ini boleh digunakan bagi aktiviti sosial, ekonomi dan rekreasi bagi penduduk kampung.
- Penyediaan Lampu Jalan:
PBT akan memasang dan menyelenggara lampu jalan di kawasan kampung untuk meningkatkan tahap keselamatan pada waktu malam dan memudahkan pergerakan penduduk.
-
Apakah kaedah yang digunakan untuk perkiraan cukai taksiran di setiap kampung tradisi?
Cukai taksiran yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas semua jenis harta termasuk rumah kediaman kampung menggunakan nilai tahunan. Nilai Tahunan ditakrifkan sebagai anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah dijangka akan diperoleh daripada sesuatu harta jika disewakan. Setelah Nilai Tahunan ditentukan, PBT akan mengenakan kadar peratusan tertentu untuk mengira jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar.