Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
17) KESIAPSIAGAAN MENGHADAPI BENCANA BANJIR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana kerajaan negeri memastikan kesiapsiagaan dan respons yang efektif terhadap bencana banjir di masa hadapan?
Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setiap tahun pada bulan Oktober yang akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mesyuarat ini bagi menyelaraskan maklumat berkaitan tinjauan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), serta mendapatkan maklum balas agensi berhubung kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana. Ini termasuk status anggota bertugas, aset-aset, serta keperluan logistik oleh setiap agensi/jabatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah akan diaktifkan segera di semua lokasi bencana. JPBD dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan bersiapsiaga memainkan peranan masing-masing bagi menghadapi musim MTL dengan melaksanakan operasi dan koordinasi bersepadu di peringkat daerah dan negeri.
Semua jabatan dan agensi akan memainkan peranan tindakan selaras dengan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No.1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Segala bantuan pengoperasian bersepadu hendaklah diselaraskan melalui JPBD bagi Tahap 1 manakala JPBN bagi Tahap 2.
Semua Pegawai Daerah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) akan diarah melaksanakan mesyuarat persediaan di peringkat daerah dengan segera bagi memastikan perancangan awal dalam pengurusan aset pemindahan dan menyelamat, pengurusan pusat pemindahan serta bekalan bahan mentah yang mencukupi. Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) dimohon memaklumkan kawasan-kawasan hotspot serta berisiko banjir kepada JPBD dan JPBN, serta bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) bagi tujuan penyelenggaraan dan mengedarkan pelan hotspot banjir. Semua aset seperti pam air / banjir (pelbagai jenis), stesen telemetri, stesen amaran, stesen sukatan luahan, stesen curahan hujan, stesen paras air, dan stesen kamera pemantauan banjir dipantau secara harian bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan bersedia.
Polis Diraja Malaysia Negeri Selangor (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor (APM) dan Briged 11 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga, di mana semua agensi telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL. Aset-aset yang digunakan semasa Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah ditempatkan di lokasi strategik seperti di pangkalan hadapan di setiap daerah.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) bersedia dengan pewartaan 1,152 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan garis panduan penetapan dan pengendalian mangsa yang mengalami masalah kesihatan dikuatkuasakan. Bekalan keperluan asas semasa bencana juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi.
Bagi melancarkan penyelarasan tindakan setiap agensi/kerajaan, Kerajaan Negeri telah memutuskan penugasan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL seperti berikut:
BIL. EXCO SKOP PENUGASAN 1. YB Tuan Ng Sze Han Pemulihan Kawasan industri 2. YB Dato’ Ir Izham Bin Hashim Pemulihan Infrastruktur 3. YB Tuan Borhan Bin Aman Shah Pengurusan PPS 4. YB Dato’ Ng Suee Lim Pembersihan/PBT 5. YB Datuk Rizam Bin Ismail Penyelarasan bencana luar bandar 6. YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi Menyelaras Bantuan Sukarelawan 7. YB Puan Jamaliah Binti Jamaluddin Kesihatan 8. YB Tuan Papparaidu A/L Veraman Tugas-tugas Khas 9. YB Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah Pengurusan telekomunikasi dan Masjid/Surau 10. YB. Puan Anfaal Binti Saari Penyelarasan Kebajikan Kerajaan Negeri Selangor juga telah melaksanakan post-mortem bagi mengkaji punca banjir dan menambah baik pelaksanaan pengurusan mangsa banjir setelah kejadian banjir besar pada Disember 2021. Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) melalui kerjasama Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan NGO – National Disaster Management Association (NADIM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diperluaskan kepada komuniti penduduk di sembilan (9) Daerah di Negeri Selangor bagi memupuk kesedaran, meningkatkan daya tahan dan tindakan proaktif penduduk. Kerajaan Negeri Selangor juga akan menambah peralatan dan aset bagi tujuan melancarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat di kawasan komuniti setempat.
Unit Pengurusan Bencana melalui Smart Selangor Operations Centre (SSOC) beroperasi memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dan melaksanakan pengintegrasian data dengan District Disaster Operation Centre (DDOC) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian Bencana di Negeri Selangor.
-
Apakah jenis bantuan segera yang disediakan untuk mangsa banjir?
Sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan yang terlibat, agensi keselamatan akan melaksanakan kerja-kerja mencari dan menyelamat serta memindahkan mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah diaktifkan berdasarkan pengisytiharan arahan oleh Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). PPS tersebut adalah di bawah penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pengedaran kelengkapan asas di PPS seperti cubicle tent, selimut, tilam, bantal, retort food dan keperluan asas lain akan segera diberikan sejurus mangsa tiba di PPS bagi memastikan keselesaan mangsa bencana.